
KELANA JAYA, 21 Ogos – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menghadiri tayangan khas filem ‘Last Dive’, bersama komuniti orang kurang upaya (OKU) Selangor, di Kelana Jaya, malam tadi.
- Tayangan menekankan tiga mesej utama: pemerkasaan OKU, kelestarian alam marin dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan.
- Filem mengisahkan Faiz, bekas pemain bola yang lumpuh, dan Amelia, jurulatih selam, membantu OKU meneroka dunia bawah laut.
- Penglibatan penyelam OKU sebenar serta penampilan tokoh seperti Datuk Dr. Ras Adiba dan Fauziah Latiff menambah autentik dan inspirasi.
Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS), menyaksikan filem itu bersama dengan komuniti OKU, anak istimewa dan keluarga mereka.
Menurut Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor merangkap Pengerusi YANIS Anfaal Saari, tayangan khas itu membawa tiga mesej utama, iaitu pemerkasaan golongan OKU, kelestarian alam sekitar dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Kerajaan negeri menerusi YANIS komited memperkasakan agenda OKU, serta menghapuskan stigma dan diskriminasi berasaskan ketidakupayaan terhadap golongan itu.
“Inisiatif itu merupakan serampang tiga mata yang amat kritikal. Kita mahu membuktikan bahawa dengan sokongan dasar, kemudahan dan teknologi, golongan OKU dapat kita rangkumkan bersama-sama dalam masyarakat, sama ada dalam kegiatan rekreasi, hiburan, kebudayaan dan sebagainya,” katanya ketika sidang media tayangan tersebut di sini.
Filem berkenaan mengangkat kisah Faiz, seorang bekas pemain bola sepak yang lumpuh akibat kemalangan, serta Amelia, seorang jurulatih selam skuba yang membantu golongan OKU meneroka dunia bawah laut.
Tayangan khas itu mengetengahkan mesej pemerkasaan golongan itu, selain kepentingan pemuliharaan ekosistem marin.
Karya arahan dan skrip, Dr. Wendy Wong itu turut menampilkan penyelam OKU yang melakukan rutin selaman skuba sebenar.
Antara penyelam OKU yang terlibat ialah Mohamad Aslan Baharin, Mohd Yusnizal Mohd Yussof dan Yi Qian.
Turut tampil, ikon OKU, Datuk Dr. Ras Adiba Mohd Radzi, manakala penyanyi terkenal Fauziah Latiff membuat penampilan khas.
Barisan pelakon utama pula terdiri daripada Shiqin Kamal sebagai Amelia, Aniq Durar sebagai Faiz, Fify Azmi sebagai Gee, Amerul Affendi sebagai Kamal dan Sandra Lim sebagai Jade.