Ella rai ulang tahun ke-60 dalam konsert ‘Homecoming’ di P. Pinang

Ella mempamerkan persembahan cukup bertenaga ketika mendendangkan lagu-lagu popularnya termasuk Rama-Rama, Kesal, Bayangan, Cinta Selembut Sutera dan Retak.

PULAU PINANG, 25 Ogos – Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru menjadi detik istimewa buat Ella apabila meraikan ulang tahun ke-60 bersama peminat yang setia mengikuti perjalanan seninya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepulangan Ella ke negeri kelahirannya membawa nilai sentimental selepas lebih tiga dekad berkarya dalam industri muzik.
  • Konsert habis terjual, dengan peminat hadir dari negeri-negeri utara serta Sumatera, Indonesia.
  • Datuk Ramli Sarip dan Datuk Ziana Zain turut tampil, berganding pentas dan menyanyi bersama Ella.
  • Kempen 'Peace.Love.Rindu' menyumbang RM2 setiap tiket kepada ABIM Pulau Pinang, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air.

Kepulangan ‘Ratu Rock’ itu ke negeri kelahirannya membawa nilai sentimental tersendiri selepas lebih tiga dekad melakar nama dalam industri muzik tanah air.

Sambutan terhadap konsert di Setia SPICE Arena itu cukup luar biasa apabila kesemua tiket habis terjual, dengan peminat hadir bukan saja dari negeri-negeri di utara semenanjung tanah air, malah Sumatera, Indonesia.

Bagi Ella, pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi penganjuran konsert itu sangat signifikan kerana ia merupakan tanah kelahirannya dan menjadi titik awal perjalanan sebelum mencipta nama dalam bidang nyanyian.

“Saya sangat gembira dapat kembali ke tempat kelahiran dan meraikan hari jadi bersama mereka yang dekat dengan saya. Melihat arena penuh malam ini merupakan hadiah yang sangat bermakna,” katanya.

Ella mempersembahkan deretan lagu popular termasuk Rama-Rama, Kesal, Bayangan, Cinta Selembut Sutera, Retak, Tiada Tangis Lagi, Kasih dan Pedih.

Ella bergambar bersama pemuzik dan peminat yang setia mengikuti perjalanan seninya selama lebih tiga dekad.

Konsert anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen itu turut diserikan dengan kemunculan dua penyanyi legenda, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Ziana Zain.

Datuk Ramli Sarip menghiburkan penonton menerusi Istilah Bercinta dan Teratai, sebelum bergandingan dengan Ella dalam Kembara Kita.

Datuk Ziana Zain pula tampil dengan Madah Berhelah, diikuti medley Senja Nan Merah dan Nuri bersama Ella.

Konsert itu turut membawa mesej kemasyarakatan menerusi kempen “Peace.Love.Rindu”, dengan RM2 daripada setiap pembelian tiket disalurkan kepada ABIM Pulau Pinang, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.