Tragedi lori JIM: Jenazah tiga mangsa kemalangan dibawa pulang ke Kampar

Jenazah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, di solatkan di Masjid Jamiul Ehsan/RTM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos- Tiga jenazah mangsa kemalangan maut membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah disolatkan selepas solat maghrib tadi di Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang di sini, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah Shaik Mohd Firdaus, 53, dan dua anaknya Siti Nor Sazlin, 25, serta Siti Darwisyah Auni, 12, akan dikebumikan di Kampar.
  • Isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi HKL.
  • Lori Jabatan Imigresen dipercayai masuk persimpangan lampu merah dengan lampu suar dan siren, bertembung kereta lalu merempuh pejalan kaki; tiga maut, seorang parah.

Ketiga-tiga jenazah kemudian bergerak ke Kampar, Perak pada 8.20 malam untuk urusan pengebumian.

Jenazah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baru Air Hitam, Labu, Kampar.

Terdahulu, van jenazah yang membawa tiga beranak itu bergerak keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada kira-kira 5.45 petang dan tiba di Masjid Jamiul Ehsan pada 5.53 petang.

Jenazah kemudian dimandikan, dikafankan dan disolatkan di masjid berkenaan sebelum dibawa ke Kampar.

Sementara itu, isteri Shaik Mohd Firdaus, Norhayati Razali, 55, yang turut terbabit dalam kemalangan berkenaan dilaporkan telah stabil dan masih menerima rawatan di ICU HKL.

Kenderaan yang membawa tiga jenazah berkenaan ke Kampar, Perak malam ini/RTM

Media sebelum ini melaporkan tiga pejalan kaki yang merupakan satu keluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh lori JIM di Jalan Sultan Ismail pada kira-kira 1.00 pagi tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan itu yang sedang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin, memandu masuk ke persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah dengan lampu suar (beacon) serta siren diaktifkan.

Lori JIM itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau, menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh kesemua mangsa serta sebuah kereta lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.