Lelaki bakar wanita ditahan, reman ke atas suspek dilakukan

Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR, 19 Ogos Dendam peribadi dipercayai menjadi motif utama tindakan seorang lelaki nekad membakar seorang wanita di sebuah premis nombor ramalan di Kepong pada 9 Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek lelaki berusia 59 tahun ditahan; permohonan reman akan dilakukan bagi membantu siasatan.
  • Polis merampas bekas berisi bahan bakar dan sebuah kenderaan dipercayai digunakan dalam kejadian.
  • Mangsa warga emas melecur kira-kira 50 peratus badan dan masih tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun telah ditahan di Kepong pada Selasa bagi membantu siasatan. Permohonan reman terhadap suspek juga akan dilakukan hari ini.

“Apabila melibatkan kes bakar orang, ini adalah satu kes yang betul-betul jarang berlaku dan merupakan satu keganasan yang dahsyat. Pihak polis berjaya menahan suspek yang terlibat.

“Kita cuba melengkapkan siasatan dengan mengumpulkan bukti dan akan dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di ibu negara.

Pihak polis turut merampas beberapa peralatan termasuk bekas berisi bahan bakar dan sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang merupakan seorang wanita warga emas disahkan melecur kira-kira 50 peratus pada badan dan masih tidak sedarkan diri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.