
PUTRAJAYA, 19 Ogos — Siasatan kes membabitkan bekas Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang dibuka pada 2021 sudah selesai dijalankan.
- SPRM mengesahkan keputusan dibuat selepas penelitian dan siasatan menyeluruh terhadap maklumat serta keterangan.
- Dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
- Timbalan Pendakwa Raya pada 2024 mengklasifikasikan kedua-dua kes sebagai Kemas Untuk Simpan (KUS).
- Keputusan kerana tiada keterangan mencukupi untuk mendakwa Xavier; SPRM menasihatkan semua pihak tidak membuat spekulasi.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan mengesahkan, keputusan dibuat selepas pihaknya menjalankan penelitian dan siasatan secara menyeluruh terhadap maklumat serta keterangan diperoleh berhubung kes berkenaan.
Sebanyak dua kertas siasatan sudah dibuka pada 2021 mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Bagaimanapun, selepas penelitian terhadap fakta, dokumen dan keterangan berkaitan, Timbalan Pendakwa Raya pada 2024 memutuskan supaya kedua-dua kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Kemas Untuk Simpan (KUS).
Menurut SPRM, keputusan itu dibuat kerana tiada keterangan mencukupi untuk mendakwa Xavier.
Dalam pada itu, suruhanjaya tersebut menjelaskan tempoh sesuatu siasatan bergantung kepada tahap kompleksiti kes, termasuk keperluan mendapatkan, meneliti dan mengesahkan maklumat serta keterangan berkaitan.
SPRM turut menegaskan setiap siasatan dijalankan secara profesional, telus serta berdasarkan fakta dan keterangan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Sehubungan itu, SPRM meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung perkara berkenaan memandangkan siasatan telah selesai.