100 kanak-kanak cadang lebih banyak pokok, tong kitar semula, laluan basikal di Kuala Lumpur

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Lebih banyak pokok, tong kitar semula, tandas awam dan laluan basikal antara cadangan yang dikemukakan kira-kira 100 kanak-kanak untuk menjadikan Kuala Lumpur bandar raya lebih selesa dan mesra kanak-kanak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penanaman lebih banyak pokok untuk mengurangkan kepanasan dan menjadikan bandar lebih selesa bagi kanak-kanak.
  • Penyediaan tandas awam yang mudah diakses di kawasan tumpuan kanak-kanak dan keluarga.
  • Penambahan tong sampah dan lebih banyak tong kitar semula untuk kebersihan dan pendidikan alam sekitar.
  • Pembinaan laluan basikal selamat bagi galakkan aktiviti luar dan mobiliti mesra kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata semua input itu akan dikumpulkan dan cadangan yang boleh dilaksanakan akan dipertimbangkan dalam persediaan bajet Kuala Lumpur tahun depan.

“Kita telah pilih empat lokasi untuk audit menerusi Child Discovery Walk atau Audit Berjalan Kaki di Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, River of Life dan Perpustakaan Kuala Lumpur.

“Mereka cadangkan penanaman lebih banyak pokok kerana terlalu panas, tandas awam, tong sampah, lebih banyak tong kitar semula dan laluan basikal,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Bersama Kanak-Kanak di Perpustakaan Kuala Lumpur, hari ini.

Hannah berkata, kanak-kanak turut mencadangkan pemasangan lirik Negaraku dan Rukun Negara di kawasan awam bagi memperkenalkan identiti Malaysia kepada pelancong.

Program anjuran DBKL dengan kerjasama UNICEF Malaysia dan sukarelawan EPIC itu turut membabitkan kanak-kanak daripada pelbagai sekolah, kawasan dan latar belakang.

Beliau berkata, semua pandangan itu akan didokumentasikan dan dipadankan dengan bidang tanggungjawab DBKL serta agensi berkaitan untuk tindakan susulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.