
SHAH ALAM, 17 Ogos – Kerajaan menyokong sepenuhnya usaha mewujudkan Akta Psikologi bagi memenuhi peningkatan keperluan masyarakat terhadap perkhidmatan psikologi sekali gus memastikan hanya individu yang mempunyai tauliah dibenar menawarkan perkhidmatan itu.
- Akta diperlukan untuk melindungi masyarakat daripada maklumat psikologi mengelirukan dan penilaian tidak tepat.
- Ketiadaan akta khusus membolehkan sesiapa mengaku ahli psikologi serta memberi nasihat tanpa kawal selia.
- Perkongsian pempengaruh dialu-alukan tetapi menimbulkan risiko terhadap kesihatan mental masyarakat.
- Akta berupaya membendung intervensi tidak sesuai, amalan tidak beretika dan perkhidmatan oleh individu tanpa kompetensi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata usaha tersebut penting bagi memberikan perlindungan kepada masyarakat daripada maklumat psikologi yang mengelirukan, tidak bermanfaat serta penilaian tidak tepat atau penggunaan instrumen tidak sah.
“Ketika ini belum ada akta khusus yang mengawal selia profesion psikologi, menyebabkan sesiapa sahaja boleh mengaku sebagai ahli psikologi dan memberikan nasihat berkaitan psikologi.
“Kita mengalu-alukan perkongsian daripada masyarakat dan pempengaruh, namun tidak boleh menafikan risikonya kerana isu psikologi berkait rapat dengan kesihatan mental,” jelasnya.
Justeru katanya penting mewujudkan Akta Psikologi sebagai penguatkuasaan dalam memastikan isu psikologi tidak disalahgunakan sewenang-wenangnya terutamanya individu yang tidak mempunyai kompetensi profesional.
“Akta ini berupaya membendung intervensi tidak sesuai, amalan tidak beretika serta perkhidmatan yang diberikan oleh individu yang tiada tauliah,” jelasnya lagi.
Marhamah berkata demikian ditemui pada Persidangan Psikologi Antarabangsa (IPC) 2026 anjuran Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan HELP Universitiy di sini.
Beliau hadir mewakili Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Lebih 500 ahli psikologi terdiri daripada pakar, ahli akademik dan pengamal profesional hadir pada persidangan dua hari bertemakan “Psychology for MADANI Society:Well Being, Resilience and Inclusive Development“.