Kehilangan kerja bukan pengakhiran, ada peluang ekonomi digital

Imej janaan AI/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kehilangan kerja bukan pengakhiran. Ia peluang meneroka sumber pendapatan alternatif melalui ekonomi digital.
  • TikTok menawarkan ruang perniagaan: pencipta kandungan, live host, TikTok Affiliate dan jualan produk sendiri.
  • Pendapatan digital memerlukan ilmu, kreativiti, ketekalan dan kesabaran; bukan cara cepat untuk dapat wang.
  • Mulakan secara kecil sambil cari kerja, guna masa untuk belajar kemahiran digital; kerajaan dan agensi boleh bantu latihan.

Menurut laporan Berita Harian pada 24 Jun 2026, seramai 42,807 pekerja di Malaysia kehilangan pekerjaan dari Januari hingga 12 Jun 2026 berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Daripada jumlah itu, 17,485 orang kehilangan pekerjaan akibat penutupan perniagaan dan pengecilan operasi syarikat. Bagi seseorang pekerja, kehilangan pekerjaan bukan sekadar kehilangan gaji bulanan, malah turut memberi kesan kepada kehidupan keluarga, komitmen kewangan dan perancangan masa depan.

Namun begitu, kehilangan pekerjaan tidak seharusnya dilihat sebagai pengakhiran. Selain terus mencari pekerjaan baharu, mereka yang terjejas boleh mengambil peluang untuk meneroka sumber pendapatan alternatif melalui ekonomi digital.

Salah satu ruang yang boleh diterokai ialah TikTok. Pada hari ini, TikTok bukan lagi sekadar platform hiburan dan perkongsian video pendek. Ia berkembang menjadi ekosistem perniagaan yang menghubungkan peniaga, pencipta kandungan dan pengguna melalui pemasaran serta jualan.

Perkembangan ini bukan sekadar trend di media sosial.

Berdasarkan Malaysia Socioeconomic Impact Report 2025 yang dibangunkan bersama syarikat perunding Kearney, sebanyak 97 peratus peniaga yang terlibat dalam kajian tersebut menyatakan bahawa TikTok menjadi antara sumber utama jualan bagi perniagaan mereka.

Angka ini menunjukkan bahawa TikTok semakin penting sebagai saluran untuk memasarkan produk, mencapai pelanggan dan meningkatkan jualan.

Apabila semakin ramai peniaga atau syarikat menggunakan platform ini untuk memasarkan produk, wujud permintaan terhadap individu yang mampu menghasilkan kandungan, berinteraksi dengan pelanggan serta mengendalikan sesi LIVE.

Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, keadaan ini boleh dilihat sebagai ruang untuk menawarkan kemahiran sedia ada sambil membina kemahiran baharu.

Antara peluang yang boleh diterokai ialah menjadi pencipta kandungan untuk produk atau perniagaan. Individu yang mempunyai kemahiran menghasilkan video, memahami pemasaran atau kreatif dalam menyampaikan mesej boleh membantu peniaga menghasilkan kandungan yang lebih menarik untuk menarik perhatian pelanggan.

Manakala mereka yang mempunyai kemahiran komunikasi dan yakin berada di hadapan kamera pula boleh meneroka peluang sebagai live host. Peniaga memerlukan individu yang mampu menerangkan produk, menjawab pertanyaan pelanggan dan mewujudkan interaksi yang dapat membantu meningkatkan jualan melalui sesi LIVE.

Bagi mereka yang mahu menjana pendapatan berdasarkan prestasi jualan, TikTok Affiliate merupakan salah satu pilihan. Melalui kaedah ini, seseorang boleh mempromosikan produk milik penjual lain dan memperoleh komisen daripada setiap jualan yang terhasil.

Kelebihannya, mereka tidak perlu menyimpan stok atau menguruskan pembungkusan dan penghantaran produk.

Satu lagi pilihan ialah menjual produk sendiri. Mereka yang sudah mempunyai produk atau mempunyai kemahiran menghasilkan sesuatu boleh menggunakan TikTok sebagai salah satu saluran pemasaran dan jualan. Produk makanan, fesyen, kecantikan, barangan rumah dan produk buatan sendiri, misalnya, boleh diperkenalkan kepada pasaran yang lebih luas.

Kesemua pilihan ini menunjukkan bahawa seseorang tidak semestinya memerlukan modal besar untuk mula meneroka ekonomi digital. Ada yang boleh menawarkan kemahiran sebagai pencipta kandungan, ada yang boleh menjadi live host, ada yang boleh menyertai TikTok Affiliates dan ada pula yang boleh membina perniagaan sendiri.

Walau bagaimanapun, menjana pendapatan melalui TikTok bukanlah jalan mudah untuk mendapatkan wang dengan cepat. Tidak semua kandungan akan cepat mendapat tontonan tinggi dan tidak semua promosi akan menghasilkan jualan.

Ia memerlukan ilmu, kesabaran, kreativiti, ketekalan dan kesanggupan untuk terus belajar. Mereka yang mahu mencuba perlu memahami cara menghasilkan kandungan, mengenali sasaran pelanggan, mempelajari asas pemasaran serta memahami bagaimana platform tersebut berfungsi.

Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, usaha ini boleh dimulakan secara kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan sementara. Sambil menghantar permohonan pekerjaan, menghadiri temuduga dan mencari peluang baharu, masa yang ada boleh digunakan untuk mempelajari kemahiran digital dan mencuba salah satu laluan yang sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Lebih penting, proses tersebut boleh menghasilkan kemahiran yang mempunyai nilai untuk kerjaya pada masa hadapan. Pengalaman menghasilkan kandungan boleh membina kemahiran pemasaran digital, menjadi live host boleh meningkatkan kemahiran komunikasi, manakala pengalaman dalam TikTok Affiliates boleh memberikan pendedahan kepada tingkah laku pengguna, promosi dan jualan dalam talian.

Kerajaan dan agensi berkaitan juga mempunyai peranan penting dalam menyediakan latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula kepada mereka yang kehilangan pekerjaan.

Namun, pada masa sama, individu perlu mengambil inisiatif untuk meneroka ruang baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan.

Kehilangan pekerjaan sememangnya satu cabaran besar, tetapi ia tidak semestinya menjadi titik akhir. Peluang menjana pendapatan secara digital masih ada. TikTok mungkin bukan penyelesaian untuk semua orang dan tidak menjamin pendapatan yang lumayan.

Namun, bagi mereka yang sanggup belajar, mencuba dan membina kemahiran baharu, ia boleh menjadi salah satu ruang untuk memulakan langkah.


Dr. Muhamad Izaidi bin Ishak
Pensyarah Kanan (Pemasaran)
Fakulti Perniagaan dan Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
E-mel:izaidi@unimap.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.