
AYER KEROH, 16 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tiada akta atau peraturan baharu yang mengongkong dan menekan kegiatan mahasiswa akan
diwujudkan bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
- AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya tanpa undang-undang pengganti yang menyekat kebebasan mahasiswa.
- Tiada akta atau peraturan baharu akan diwujudkan untuk menekan kegiatan mahasiswa.
- Mahasiswa tetap tertakluk kepada undang-undang jenayah biasa, kerajaan menolak pindaan atau akta pengganti yang menekan gerakan mahasiswa.
Beliau menegaskan, pemansuhan AUKU akan dilaksanakan sepenuhnya, tanpa digantikan dengan undang-undang khas yang menyekat kebebasan mahasiswa.
“Mahasiswa sebagai rakyat biasa ada undang undang jenayah. Ada undang-undang yang memang terpakai. Saya tegaskan sekali lagi dan saya akan ingatkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.
“Saya tidak bersetuju terhadap apa jua pindaan atau akta gantian (undang-undang) yang menekan gerakan mahasiswa,” tegasnya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bersempena Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2026, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
AUKU sebelum ini telah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.
Pindaan terbaharu pada 2024, menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.
Selain itu, penambahbaikan Seksyen 15A AUKU membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar dan badan pelajar memungut wang serta menerima sumbangan dalam apa-apa cara, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.