
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Tiket MADANI serendah RM200 bagi menyaksikan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) in Malaysia 2026 mendapat reaksi positif dalam kalangan peminat tempatan.
- Kembalinya F1 ke Malaysia selepas sembilan tahun disambut penuh kesyukuran oleh peminat, menghargai rundingan kerajaan dengan Bahrain.
- Tawaran khas untuk pemegang MyKad dilihat sebagai inisiatif terbaik, merancakkan sukan dan memberi manfaat kepada peminat tempatan.
- Peminat teruja dapat saksikan kereta sebenar di Litar Antarabangsa Sepang, berbanding hanya koleksi die-cast sebelum ini.
Mereka menyifatkan tawaran itu sebagai peluang berharga untuk kembali menyaksikaan perlumbaan Formula 1 secara langsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Muhammad Zul Akhmal berkata, kembalinya perlumbaan berprestij itu ke Malaysia selepas sembilan tahun cukup dinantikan, meskipun kali ini membabitkan GP Bahrain.
“Sebagai peminat F1, saya sangat bersyukur sebab akhirnya F1 kembali ke Malaysia.
“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan yang dapat berunding dengan Bahrain sehingga kita dapat menjadi venue bagi salah satu acara sukan permotoran terbesar di dunia.
“Dengan Tiket MADANI, kita boleh dapat harga serendah RM200 dan sebagai peminat F1, saya memang sangat bersyukur,” katanya.
Muharam Shah pula menyifatkan kadar berkenaan sebagai sangat berpatutan.
“Terima kasih atas usaha yang diberikan oleh kerajaan sebab RM200 ini saya rasa memang sangat-sangat murah. Kalau di tempat lain mungkin harganya jauh lebih mahal.
“Saya sangat teruja untuk pergi ke Sepang nanti,” katanya.
Bagi Izzu Mohd Bahrin, tawaran khas kepada pemegang MyKad bukan sahaja memberi manfaat kepada peminat, malah dilihat mampu membantu merancakkan sukan di negara ini.
“Selepas sekian lama kita tidak dapat tengok F1 di Malaysia, kali ini dengan harga khas untuk pemegang kad pengenalan, saya rasa memang satu inisiatif yang terbaik.
“Sebagai pengumpul die-cast, selama ini kita nampak kereta dalam bentuk kecil. Kali ini mungkin dapat tengok kereta yang sebenar pula,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Tiket MADANI khusus untuk pemegang kad pengenalan Malaysia (MyKad) pada harga serendah RM200 bagi akses sepanjang tiga hari acara.
F1 Gulf Air Bahrain GP in Malaysia 2026 dijadual berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober ini.