Golf Amal YSB 2026 berjaya kumpul RM242,000

Foto Yayasan Sultanah Bahiyah

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Sebanyak RM242,000 berjaya dikumpul menerusi Pertandingan Golf Amal Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) 2026 yang berlangsung di Tropicana Golf & Country Club, di sini, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dana daripada pertandingan disalurkan bagi menyokong program pendidikan Yayasan Sultanah Bahiyah.
  • Sumbangan utama: Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng RM50,000; HMS Realty RM30,000; Geliga Global RM20,000.
  • Edisi ke-27 kejohanan amal golf, dianjurkan sejak 1998 dan diiktiraf sebagai salah satu kejohanan amal paling lama.

Kutipan dalam bentuk tunai dan sumbangan barangan itu hasil penyertaan 80 pemain golf, dengan dana tahun ini disalurkan bagi menyokong program pendidikan YSB.

Menurut kenyataan YSB, antara penyumbang utama ialah Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng yang menyumbang RM50,000, diikuti HMS Realty Sdn Bhd sebanyak RM30,000 dan Geliga Global Sdn Bhd RM20,000.

Pertandingan Golf Amal YSB mula dianjurkan pada 1998 dan pernah berlangsung di beberapa lokasi di Kedah serta Kuala Lumpur sebelum formatnya kini ditumpukan kepada kejohanan sehari berikutan kekangan kos.

“Kejohanan tahun ini adalah edisi ke-27 dan diiktiraf sebagai antara kejohanan golf amal paling lama dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Penganjuran turut diserikan dengan kehadiran Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani, Che Puan Besar Kedah, Tuanku Hajah Haminah serta Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Pengerusi YSB.

Ditubuhkan pada 20 Ogos 1996, YSB menjalankan program dalam bidang pendidikan, pembangunan komuniti, kesihatan, warga emas, wanita dan belia menerusi pembiayaan daripada usaha kutipan dana serta sumbangan orang ramai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.