
SHAH ALAM, 15 Ogos – Kejayaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 tidak seharusnya diukur hanya melalui jumlah pingat, sebaliknya pada perkara yang kekal selepas pertandingan berakhir.
- Misi bina legasi: melahirkan generasi berani bermimpi, cekal berusaha dan yakin mampu menjadi juara.
- Para SUKMA diberi status setara; kecemerlangan bukan hanya di podium tetapi tentang ketekunan, keberanian dan kekuatan jiwa.
- SUKMA kembali ke Selangor membawa tanggungjawab sediakan pentas terbaik bagi mengasah bakat, memperkukuh persahabatan dan melahirkan juara.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, impak positif kepada generasi muda, atlet para serta hubungan antara negeri menjadi cerminan kejayaan sebenar temasya itu.
“Legasi yang ingin kita bina bukan sekadar pada prasarana, pingat atau angka.
“Yang paling bermakna ialah lahirnya generasi yang lebih berani bermimpi, lebih cekal berusaha dan lebih yakin bahawa mereka juga mampu menjadi juara,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian SUKMA Ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan, di sini, yang disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Dalam pada itu, Datuk Seri Amirudin memaklumkan, Para SUKMA mempunyai kedudukan sama penting dalam Selangor 2026 dengan kecemerlangan tidak dinilai berdasarkan pencapaian di podium semata-mata.
“Atlet para membuktikan bahawa ketekunan, keberanian dan kekuatan jiwa mampu membawa seseorang melangkaui batas yang pernah dianggap mustahil,” jelasnya.
Kesemua atlet diingatkan supaya bertanding dengan keberanian dan kecekalan, menjunjung maruah pasukan serta negeri masing-masing, menghormati lawan dan memelihara semangat kesukanan.
“Menanglah dengan rendah hati. Terimalah kekalahan dengan jiwa yang besar. Jika tersungkur, bangkitlah dengan semangat yang lebih kuat,” katanya.
Penganjuran kali ini turut membawa makna tersendiri apabila SUKMA kembali ke Selangor selepas 28 tahun.
“Kepulangan ini membawa tanggungjawab untuk menyediakan pentas terbaik kepada generasi muda mencabar kemampuan diri, mengasah bakat dan membina keyakinan untuk melangkah lebih jauh,” katanya.
Beliau berharap Selangor 2026 akan dikenang bukan sahaja kerana kecemerlangan penganjurannya, tetapi juga semangat yang disemarakkan, persahabatan yang diperkukuh dan generasi juara yang dilahirkan.
SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 Ogos hingga 24 Ogos 2026 melibatkan lebih 5,000 atlet yang bakal beraksi dalam 469 acara merangkumi 37 jenis sukan.