
CYBERJAYA, 15 Ogos – Kontinjen Malaysia menyasarkan dua pingat emas dan dua perak pada Sukan Nomad Dunia 2026 yang dijadual berlangsung di Kyrgyzstan hujung bulan ini.
- Kontinjen Malaysia akan bertanding dalam kira-kira enam jenis sukan termasuk permainan tradisional, berkuda, permainan luar, permainan intelektual dan gusti Mongolia.
- Kontinjen kini dalam fasa akhir persiapan meliputi latihan, pengurusan atlet dan pegawai serta penyelarasan logistik.
- Penyertaan memberi peluang mempromosi identiti, budaya dan warisan Malaysia di pentas antarabangsa.
Ketua Kontinjen Malaysia, Mohd Aswat Kidam berkata, kontinjen negara akan membawa cabaran dalam beberapa kategori utama termasuk fizikal.
“Malaysia akan menyertai lebih kurang enam jenis sukan, antaranya permainan tradisional, berkuda, permainan luar, permainan intelektual dan juga gusti Mongolia,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Jersi Kontinjen Malaysia 2026, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Aswat berkata, kontinjen negara kini berada pada fasa akhir persiapan bagi memastikan atlet dapat memberikan aksi terbaik sepanjang temasya berkenaan.
Persiapan itu merangkumi aspek latihan, pengurusan atlet dan pegawai serta penyelarasan logistik sebelum pasukan berlepas ke Kyrgyzstan.
Sukan Nomad Dunia 2026 dijadual berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September dengan penyertaan atlet dari pelbagai negara dalam acara berteraskan sukan tradisi masyarakat nomad.
Penyertaan Malaysia turut menjadi ruang memperkenalkan identiti, budaya dan warisan negara di pentas antarabangsa.