Empat kelab ASEAN buru gelaran sulung Piala Gabenor Melaka

E. Elavarasan/ BERNAMA

MELAKA, 14 Ogos – Kejohanan empat penjuru antarabangsa merebut Piala Gabenor Melaka yang bermula esok menjadi medan penting buat Melaka FC (MFC) menguji kekuatan serta memantapkan keserasian pasukan sebelum menghadapi saingan Liga Super musim 2026/2027 yang bermula 22 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan dianjurkan julung kali oleh MFC sempena ulang tahun ke-77 Yang di-Pertua Negeri Tun Dr Mohd Ali Rustam.
  • Empat pasukan bertanding: Melaka FC, Phnom Penh Crown FC, Jurong FC dan Persik Kediri FC.
  • Ketua jurulatih lihat kejohanan sebagai medan penting nilai kesiapsiagaan, kecergasan fizikal dan kesepaduan taktikal pasukan.
  • Separuh akhir: MFC lawan Jurong; Phnom Penh Crown lawan Persik Kediri. Pemenang ke final, tewas ke perlawanan bagi tempat ketiga.

Ketua jurulatih MFC, E. Elavarasan berkata kejohanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat itu memberi peluang kepada pasukannya menilai kekuatan dan kelemahan selepas lebih sebulan menjalani persiapan pramusim.

Beliau berkata kejohanan itu juga penting dalam usaha membentuk pasukan yang lebih mantap sebelum saingan liga bermula.

Tuan rumah MFC akan menentang tiga kelab serantau iaitu Phnom Penh Crown FC (PPCFC) dari Kemboja, Jurong FC dari Singapura dan Persik Kediri FC dari Indonesia.

Kejohanan empat penjuru itu dianjurkan buat julung kalinya oleh MFC bersempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam.

Dalam sidang media menjelang kejohanan itu di sini hari ini, kesemua ketua jurulatih menyifatkan pertandingan berkenaan sebagai medan persiapan penting bagi pasukan masing-masing menjelang saingan liga domestik.

Ketua jurulatih PPCFC Oleg Starynski berkata kejohanan berkenaan penting bagi menilai tahap kesiapsiagaan pasukannya menjelang musim baharu Liga Perdana Kemboja serta saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Sementara itu, ketua jurulatih Jurong FC Jaswinder Singh berkata kejohanan itu menjadi platform terbaik untuk menilai tahap kecergasan fizikal serta kesepaduan taktikal pemain di pertengahan persiapan pramusim.

Bagi Persik Kediri FC, ketua jurulatih Marcos Reina Torres berkata kejohanan itu mampu membantu perkembangan pasukannya, khususnya dari aspek taktikal dan mengintegrasikan pemain baharu.

Esok, MFC akan menentang Jurong FC, manakala PPCFC berdepan Persik Kediri FC.

Pemenang kedua-dua perlawanan akan bertemu pada final pada Isnin ini bagi merebut kejuaraan sulung, manakala pasukan yang tewas akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.