
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) di Institut Jantung Negara (IJN), Rabu lalu.
- Pembedahan dilaksanakan mengikut protokol ERAS untuk mobilisasi awal, mengurangkan komplikasi dan mempercepatkan pemulihan.
- Beliau berjaya menjalani latihan berbasikal sejauh 2.8 kilometer dan dipindahkan dari ICU ke wad biasa pada hari sama.
- Datuk Seri Fadillah mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan dan semua pihak yang mendoakan serta menyokong beliau.
Menurut kenyataan IJN, Datuk Seri Fadillah sebelum ini dimasukkan ke IJN pada 28 Julai untuk menjalani prosedur angiogram koronari sehari kemudian.
“Pembedahan dilaksanakan menggunakan protokol Enhanced Recovery After Surgery (ERAS), iaitu pendekatan multidisiplin yang menyokong mobilisasi awal, mengurangkan komplikasi dan membantu proses pemulihan lebih selamat dan pantas,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Dr Mohamed Ezani Md Taib yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN memaklumkan, pihaknya berbesar hati melihat perkembangan positif Datuk Seri Fadillah.
“Rawatan dan proses pemulihan beliau berjalan seperti dirancang, manakala keadaannya terus bertambah baik seperti yang dijangkakan oleh pasukan perubatan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada program mobilisasi awal, beliau telah berjaya melengkapkan latihan berbasikal sejauh 2.8 kilometer di bawah pemantauan pasukan klinikal IJN.
Beliau kemudiannya dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa pada petang hari sama, dan kini meneruskan proses pemulihan serta rehabilitasi jantung selepas pembedahan CABG.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fadillah menerusi kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan perubatan IJN atas komitmen, kepakaran dan layanan profesional mereka sepanjang proses rawatan.
“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada pihak kementerian, masjid-masjid, surau-surau, rumah ibadat, agensi kerajaan/swasta, NGO-NGO, sanak-saudara, sahabat handai serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan dan memberikan sokongan kepada beliau,” menurut kenyataan itu.