
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia membantu pelajar yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tetapi berdepan masalah termasuk kewangan.
- Daftar seperti dijadualkan dan teruskan pengajian.
- Hubungi IPTA atau KPT jika menghadapi masalah kewangan untuk mendapatkan bantuan segera.
- Calon yang belum berjaya boleh memohon rayuan UPUOnline 12.00, 14 Ogos hingga 17.00, 23 Ogos 2026.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pelajar terbabit diminta tetap mendaftar seperti dijadualkan dan meneruskan pengajian.
Pada masa sama, berhubung dengan KPT atau IPTA berkenaan untuk mendapatkan bantuan.
“Kepada yang mendapat tawaran kemasukan ke IPTA, jika ada sebarang masalah kewangan atau sebagainya, boleh terus berhubung dengan IPTA berkenaan atau KPT.
“Yang penting, anda masuk daftar dan sambung belajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, dalam satu hantaran bersaingan, beliau memaklumkan, seramai 82,092 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf menerima tawaran mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di 20 universiti awam.
Bagi calon yang tidak mendapat tawaran, permohonan rayuan menerusi UPUOnline dibuka selama 10 hari bermula 12 tengah hari, 14 Ogos hingga 5 petang, 23 Ogos 2026.
Datuk Seri Dr. Zambry menasihatkan calon yang belum berjaya supaya tidak berputus asa, sebaliknya memanfaatkan tempoh rayuan berkenaan.
Beliau berkata, KPT akan terus mengusahakan peluang supaya seramai mungkin pelajar dapat melanjutkan pengajian.