
KANGAR, 14 Ogos – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Perlis menyasarkan pengagihan antara 1,500 hingga 2,000 Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
- Sokongan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk RTM Perlis bagi menjayakan kempen Jalur Gemilang.
- JAPEN galakkan orang ramai membeli dan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan dan pejabat.
- Inisiatif Kibar Jalur Gemilang dan Satu Rumah Satu Jalur Gemilang menggalakkan semangat cinta negara dalam kalangan rakyat.
- Tradisi kerjasama antara JAPEN dan Jabatan Penyiaran memastikan kempen Jalur Gemilang menjadi amalan tahunan dan simbol kebanggaan berterusan.
Usaha itu turut mendapat sokongan menggalakkan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, termasuk Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Perlis.
Pengarah Penerangan Perlis, Aidatul Shima Che Hassan berkata, selain mengagihkan bendera menerusi pelbagai program, JAPEN turut menggalakkan orang ramai membeli dan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan serta pejabat masing-masing.
“Sasarannya mungkin dalam 1,500 hingga 2,000 bendera yang akan kita agihkan sempena program-program kita. Kita juga menyeru orang ramai membeli bendera untuk dikibarkan di rumah, premis, kedai, pejabat dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, usaha itu selaras dengan kempen Kibar Jalur Gemilang, termasuk inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG), bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menzahirkan semangat cintakan negara.
Sementara itu, Pengarah Penyiaran Perlis, Fathil Hidayat Ghazali berkata, kerjasama antara JAPEN dan Jabatan Penyiaran di bawah Kementerian Komunikasi dalam menjayakan kempen berkenaan sudah menjadi tradisi setiap tahun.
“Sudah menjadi tradisi di Kementerian Komunikasi dan pihak Jabatan Penerangan serta Jabatan Penyiaran untuk berkolaborasi dalam memastikan kempen ini menjadi amalan saban tahun.
Kami mahu memastikan Jalur Gemilang ini tidak dilihat sebagai simbol Hari Kebangsaan sahaja, tetapi simbol kebanggaan yang perlu kita paparkan dan pamerkan sepanjang masa,” katanya.