SUKMA 2026: Laluan utama di Sepang ditutup berperingkat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Beberapa jalan utama di daerah Sepang akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula 16 hingga 19 Ogos ini bagi memberi laluan acara berbasikal lebuh raya sempena Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penutupan jalan dijalankan 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, melibatkan 142 peserta.
  • Seramai 96 kawasan dipantau untuk kawalan lalu lintas, dibahagikan kepada empat zon operasi.
  • Beberapa jalan ditutup pada 16, 17 dan 19 Ogos termasuk Persiaran Pantai Sepang Putra, Kampung Bagan Lalang dan Bukit Bangkong-Tanjung Rhu.
  • 18 Ogos: kira-kira 11 laluan ditutup; polis dan penguat kuasa akan kawal, orang ramai dinasihatkan guna laluan alternatif.

Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Norhizam Bahaman dalam kenyataan memaklumkan, penutupan jalan dilaksanakan bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari melibatkan laluan pertandingan yang disertai seramai 142 peserta.

“Sebanyak 96 kawasan akan diberi perhatian bagi penugasan kawalan lalu lintas sepanjang acara itu, yang terbahagi kepada empat zon.

“Empat zon berkenaan ialah Zon A di Jalan Pantai Sepang Putra-Sempadan Tumbuk, Zon B di Jalan Dengkil-Jenderam Hulu, Zon C di Jalan Jenderam-Salak dan Zon D di Jalan Salak Sepang-Sungai Pelek,” menurut kenyataan itu hari ini.

Laluan di Persiaran Pantai Sepang Putra, Jalan Kampung Bagan Lalang, Jalan Bukit Bangkong-Tanjung Rhu dan Jalan Tumbuk Sempadan pula akan ditutup pada 16, 17 dan 19 Ogos.

Pada 18 Ogos, kira-kira 11 laluan akan ditutup, termasuk Jalan Banting-Semenyih menghala Dengkil, Pekan Dengkil, Jalan Jenderam Hilir, Jalan Jenderam-Salak, Bandar Baru Salak Tinggi, Jalan Pekan Salak-Lembah Paya, Jalan Sepang Lama dan Jalan Sungai Pelek.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dengan bantuan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan serta anggota trafik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor akan ditempatkan di persimpangan jalan dan lampu isyarat selain melakukan rondaan serta pemantauan di sepanjang laluan terlibat.

Dalam pada itu orang ramai khususnya penduduk sekitar dan pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal selain menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan.

SUKMA Selangor 2026 dijadualkan berlangsung pada Sabtu (15 Ogos) hingga 24 Ogos manakala Para SUKMA 2026 akan diadakan dari 5 hingga 14 September.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.