Azizulhasni antara atlet tumpuan Olympic Pathway menuju LA28

Datuk Mohd Azizulhasni Awang/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang berada dalam perancangan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

RINGKASAN BERITA AI
  • MSN dan PKBM setuju memasukkan Azizulhasni ke dalam Olympic Pathway sebagai atlet tumpuan menuju LA28.
  • MSN dan PKBM akan menyokong sepenuhnya perancangan serta persiapan beliau untuk LA28.
  • Beliau mahu memberi tumpuan kepada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebelum membuat keputusan mengenai LA28.
  • Sokongan kerajaan tidak terikat pada Program Road To Gold; Program Podium juga menyediakan bantuan untuk kelayakan Olimpik.

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata MSN dan PKBM bersetuju memasukkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu dalam Olympic Pathway sebagai antara atlet yang diberi tumpuan dalam persiapan menuju temasya sukan berprestij berkenaan.

Beliau berkata pelan itu telah dibincangkan dan dibentangkan kepada PKBM pada Jun lepas, dengan MSN dan badan induk berbasikal negara itu bersetuju untuk menyokong perancangan yang diperlukan Azizulhasni dalam usahanya menuju LA28.

“MSN dan pihak PKBM akan menyokong sepenuhnya apa sahaja perancangan yang beliau perlukan bagi membolehkan beliau membuat persiapan untuk ke LA28 nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Ajinomoto (Malaysia) Berhad dan MSN di MSN, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Jefri berkata MSN turut mengadakan pertemuan dengan Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman, semalam bagi membincangkan perancangan bekas juara dunia itu.

Beliau berkata pelumba berusia 38 tahun itu ketika ini mahu memberi tumpuan kepada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebelum membuat keputusan berhubung penyertaannya di LA28.

Dalam pada itu, Jefri menegaskan sokongan kerajaan terhadap Azizulhasni tidak bergantung semata-mata kepada kedudukannya dalam program Road To Gold (RTG), memandangkan Program Podium turut menyediakan sokongan kepada atlet negara dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Azizulhasni sebelum ini berada dalam RTG bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum memutuskan untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelumba profesional tahun lepas.

Beliau terus mencuri tumpuan apabila menamatkan penantian 16 tahun untuk bergelar juara Sukan Komanwel selepas memenangi emas acara keirin lelaki pada edisi Glasgow 2026, awal bulan ini.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.