Sukan Asia 2026: Shareen sasar 10 terbaik

Atlet memanjat dinding wanita negara, Shareen Mohd Nasran / RTM

SUBANG JAYA, 14 Ogos – Atlet memanjat dinding wanita negara, Shareen Mohd Nasran, menyasarkan sasaran untuk menduduki kelompok 10 terbaik pada penampilan sulungnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Layak ke Sukan Asia secara merit, pencapaian terbesar selepas kekecewaan di Sukan SEA.
  • Pengalaman pahit Sukan SEA mendorong fokus persediaan psikologi, perbincangan bersama jurulatih, dan sikap realistik.
  • Menjalani latihan intensif lapan bulan, kem akhir di Thailand untuk simulasi, di Jepun untuk mengasah kemahiran dan menyesuaikan diri.
  • Mengakui saingan utama dari tuan rumah Jepun, seorang lagi atlet Ke Qun Tao turut terpilih mewakili Malaysia.

Shareen, 20, yang melayakkan diri secara merit menyifatkan penyertaannya kali ini sebagai satu pencapaian terbesarnya selepas mengalami kegagalan di temasya Sukan SEA tahun lalu.

Menurutnya, pengalaman pahit di Sukan SEA telah mengajarnya untuk lebih fokus kepada aspek persediaan psikologi sebelum turun ke gelanggang.

“Saya telah membincangkan perkara ini dengan jurulatih dan sasaran saya untuk Sukan Asia adalah kelompok 10 terbaik kerana kedudukan saya sebelum ini di Kejohanan Asia adalah ke-14.

“Jadi, saya mahu memperbaiki kedudukan tersebut namun pada masa yang sama perlu bersikap realistik.”

“Saya berasa sangat bersyukur kerana sebelum ini saya mengharungi kejohanan yang agak buruk pada Sukan SEA tahun lepas. Walaupun layak ke peringkat akhir, tekanan tersebut menjejaskan prestasi saya.

“Namun, saya berjaya bangkit semula di Kejohanan Asia pada April lalu untuk mengesahkan tiket ke Sukan Asia secara merit,” katanya ketika ditemui semasa lawatan timbalan kontijen negara ke Sukan Asia 2026 ke pusat latihan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai persiapan, beliau menjelaskan telah menjalani latihan intensif selama lapan bulan.

Dalam tempoh sebulan terakhir ini, beliau dijadualkan menyertai dua kem latihan pusat iaitu di Thailand dan Jepun sebagai persediaan fasa akhir.

“Di Thailand, ia lebih kepada simulasi pertandingan di mana saya akan berlatih bersama atlet dari Thailand, Singapura dan negara Asia Tenggara yang lain.

“Di Jepun pula, saya akan mengasah semula kemahiran dan menyesuaikan diri dengan persekitaran sebelum hari pertandingan,” tambahnya

Beliau turut mengakui saingan hebat daripada atlet tuan rumah, Jepun, bakal menjadi cabaran utama memandangkan negara tersebut merupakan antara kuasa besar dunia dalam sukan memanjat dinding.

Selain Shareen, seorang lagi atlet memanjat dinding lelaki negara, Ke Qun Tao, turut terpilih untuk menggalas cabaran Malaysia di temasya empat tahun sekali itu.

 

 

 

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.