
SAUDARA PENGARANG
- Strategic foresight wajib untuk kenal pasti isyarat awal, bina senario dan sediakan dasar sebelum risiko menjadi krisis.
- Ancaman moden muncul dari teknologi komersial seperti dron, AI dan satelit komersial, menjadikan kos rendah berisiko tinggi.
- Negara maju telah wujudkan mekanisme foresight untuk horizon scanning dan senario, memberi contoh yang boleh diikuti.
- MINDEF menerapkan foresight dalam PSPN dan RTKP 2026 2030; beralih ke perancangan berasaskan ketidaktentuan, kesan pada latihan, pengambilan dan sumber.
Sekitar 1940-an, Perancis dipercayai memiliki segala-galanya. Namun, seluruh sistem pertahanan tersebut dibina atas andaian bahawa peperangan akan berlaku seperti sebelumnya.
Sebaliknya, apabila tentera Jerman melancarkan serangan, mereka memilih laluan yang sama sekali tidak dijangkakan. Strategi Blitzkrieg memanfaatkan kepantasan, koordinasi dan elemen kejutan.
Mereka mara merentasi Hutan Ardennes yang selama ini dianggap mustahil untuk operasi ketenteraan berskala besar. Enam minggu kemudian, Perancis tumbang. Garisan Maginot gagal mempertahankan Perancis.
Yang penting, sistem tersebut gagal berfungsi bukan kerana kelemahan reka bentuknya, tetapi kerana keseluruhan falsafah, prinsip dan doktrin pertahanannya dibina atas andaian bahawa perang seterusnya akan berlaku dalam cara dan pendekatan seperti sebelumnya.
Sejarah ini meninggalkan satu pengajaran besar. Negara jarang tewas hanya kerana kekurangan senjata. Selalunya mereka tewas apabila strategi masih dibina berasaskan ancaman ‘semalam’ sedangkan sifat ancaman dan cabaran pertahanan hari ini lebih bersifat ‘esok’.
Ini bermakna, selain memodenkan aset dan teknologi pertahanan, adalah sangat kritikal untuk sesebuah negara memikirkan secara serius, mendalam serta strategik terhadap pelan, perancangan dan juga rangka tindakan pertahanan.
Ia khususnya dalam berhadapan dengan ancaman dan cabaran yang tidak lagi bersifat biasa dan diketahui.
Atas sebab itulah, ketika banyak negara masih menumpukan perhatian kepada pemerolehan pesawat pejuang generasi kelima, peperangan di Ukraine mengubah andaian tentang cara peperangan moden boleh dan akan berlaku.
First Person View atau FPV yang berharga kurang daripada USD1,000 terbukti mampu memusnahkan kereta kebal bernilai jutaan dolar.
Di Laut Merah, kumpulan Houthi menunjukkan bahawa gangguan terhadap perdagangan global tidak lagi memerlukan armada laut yang besar dan pelbagai.
Dron dan peluru berpandu berkos rendah nampaknya sudah mencukupi untuk memaksa syarikat perkapalan antarabangsa menukar laluan, meningkatkan kos logistik dan mengganggu rantaian bekalan dunia secara menyeluruh.
Itu kita belum lagi bercakap tentang bagaimana Iran bermain tarik tali dalam mempamerkan penguasaan di Selat Hormuz yang mengheret negara besar seperti Amerika Syarikat dan sekutunya untuk berfikir dua kali dalam setiap tindakan ketenteraan mereka.
Konflik-konflik ini, sekali pun berlaku dalam situasi, skala dan sebab yang berbeza, kesemuanya berkongsi satu mesej yang hampir sama. Peperangan moden tidak lagi tercetus dan melarat secara mendatar dengan bentuk atau pola yang kita tahu dan fahami selama ini.
Ancaman baharu kerap muncul susulan teknologi yang pada asalnya dibangunkan untuk tujuan komersial dan bermotifkan kemaslahatan awam.
Malah, dalam kebanyakan situasi, segala teknologi tersebut diterokai dan dibangunkan oleh entiti yang tidak pun memiliki kepentingan atau kekuatan ketenteraan konvensional seperti pemain dalam industri semikonduktor, kecerdasan buatan, satelit komersial, keselamatan siber dan para pakar teknologi makanan.
Ringkasnya, persoalan paling penting dalam isu pertahanan hari ini bukan lagi “apakah ancaman yang sedang kita hadapi?” Sebaliknya, persoalan yang jauh lebih kritikal dan relevan ialah “apakah ancaman-ancaman atau cabaran yang masih belum kita lihat dan fahami?”
Rentetan daripada perkembangan ini, adalah tidak pelik banyak negara dunia sudah mula mengubah cara mereka melihat ancaman pertahanan dan giat melabur dalam membangunkan pelan strategik untuk berhadapan dengan semua kemungkinan baharu.
United Kingdom, misalnya, membangunkan The Futures Toolkit melalui Government Office for Science bagi membantu kerajaan menjalankan horizon scanning, membina senario dan menilai implikasi sesuatu dasar terhadap pelbagai kemungkinan masa hadapan.
Singapura telah lama menubuhkan Centre for Strategic Futures bagi memastikan proses membuat keputusan kerajaan sentiasa mengambil kira perubahan demografi, teknologi, ekonomi dan geopolitik dalam jangka panjang.
Finland dan Kanada menginstitusikan amalan foresight melalui rangkaian kerajaan masing-masing. Tidak ketinggalan, Australia, menerusi Defence Strategic Review 2023 mengakui bahawa andaian strategik yang digunakan selama beberapa dekad lepas perlu dinilai semula.
Ia bagi menghadapi realiti keselamatan Indo-Pasifik yang semakin kompleks.
Malah, negara tersebut telah membuat semakan menyeluruh tentang bentuk dan perwatakan penting yang mesti dinilai dalam bakat yang mereka mahukan untuk mengisi pasukan ketenteraan mereka.
Sasaran mereka adalah untuk membangunkan satu ketumbukan tentera terbaik – dan tidak memeranjatkan sama sekali bahawa segala kriteria tersebut tidak lagi berkisar pada kekuatan fizikal dan tubuh badan.
Walaupun pendekatan dan fokus mereka sudah pastinya saling berbeza, negara-negara ini bertindak atas kesedaran yang sama.
Kesemuanya percaya bahawa kelebihan strategik pada abad ke-21 semakin bergantung pada keupayaan institusi atau kerajaan dalam membaca perubahan sebelum perubahan itu memaksa negara bertindak dalam keadaan tidak bersedia.
Dalam konteks wacana dasar awam, pendekatan ini dikenali sebagai strategic foresight.
Kita akui sememangnya tidak ada institusi atau pihak yang mampu mengetahui dengan tepat dan mutlak bagaimana landskap keselamatan atau bentuk konflik akan berkembang dalam tempoh sedekad atau dua dekad akan datang.
Akan tetapi, perkara tersebut bukanlah alasan untuk kita tidak menjadikan strategic foresight sebagai satu kerangka pemikiran yang boleh membantu kerajaan.
Khususnya dalam mengenal pasti isyarat awal perubahan (weak signals), membangunkan beberapa senario yang munasabah serta menyediakan pilihan dasar sebelum sesuatu risiko berkembang menjadi krisis.
Benar yang pendekatan ini tidak menghapuskan ketidaktentuan secara total. Akan tetapi, nilai utamanya terletak pada keupayaan mengurangkan unsur kejutan dan memastikan negara lebih bersedia apabila berdepan perubahan yang sukar dijangka.
Jika semua ini dinilai dan dibandingkan dengan kerangka dan dasar pertahanan negara kita, strategic foresight sememangnya menjadi pendekatan yang sedang difokuskan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Berdasarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026–2030 yang dilancarkan pada 25 Jun lalu oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, MINDEF telah menggariskan hala tuju lima tahun kementerian.
Kementerian itu memberi penekanan terhadap beberapa aspek kritikal. Antaranya, pembudayaan strategic foresight sebagai asas kepada perancangan pertahanan negara.
Lebih penting, bagi memastikan pelan strategik tersebut menjawab keperluan kritikal pertahanan negara, rangka tindakan yang diperkenalkan turut memberi penekanan yang serius terhadap beberapa aspek penting.
Ia merangkumi penyelidikan strategik, perkembangan geopolitik, kecerdasan buatan (AI), teknologi pertahanan, daya tahan nasional serta keupayaan institusi meramal dan menjangka cabaran atau risiko pertahanan masa depan.
Jika dibaca secara sepintas lalu, penegasan tersebut mungkin kelihatan seperti sebahagian daripada retorik pelancaran dasar. Namun, yang harus diberikan perhatian adalah perubahan besar yang mula dilakukan.
Ini termasuklah pendekatan PSPN dan RTKP yang membawa Malaysia untuk beralih daripada proses perancangan pertahanan yang berasaskan ancaman kepada pendekatan yang berasaskan ketidaktentuan (uncertainty-based planning).
Perubahan terhadap pendekatan dan kerangka pemikiran ini sangat mustahak. Pertama, perkara tersebut sudah pasti akan memberi implikasi yang besar terhadap cara negara membina dan menyusun keupayaan pertahanan.
Fokus kita akan lebih menjurus kepada cabaran yang sukar dijangka. Perkara ini seterusnya akan mempengaruhi cara kita menyusun proses merekrut, merangka rejim latihan dan membina kapasiti sumber manusia.
Kedua, anjakan pemikiran ini akan menyebabkan Malaysia beralih kepada pembinaan institusi yang bukan sahaja lebih utuh dan kalis kejutan.
Tetapi lebih anjal dan bersedia untuk beradaptasi dengan keperluan mendesak yang mengejut sekali gus berupaya menyesuaikan strategi mengikut perubahan yang berlaku dengan pantas dan berkesan.
Ketiga, perubahan kerangka pemikiran seperti ini layak menjadi asas untuk MINDEF dan ATM merundingkan peruntukan sumber yang lebih adil dan bersesuaian dengan sektor kritikal ini.
Ia bukan sahaja akan membuka mata semua pihak tentang kegentingan pertahanan negara. Sebaliknya akan membetulkan pemahaman banyak pihak yang masih melihat pertahanan dari lensa dan sudut pandang lapuk.
Yang pasti, biar apa pun bentuk pelan tindakan dan rancangan strategik yang diusahakan oleh Menteri Pertahanan, MINDEF dan ATM, ia harus menjadi satu agenda bersama yang diangkat dan disokong oleh semua pihak.
Pertahanan sudah sangat berevolusi. Kita tidak lagi boleh memandang semua itu dengan cara dan pemikiran lama.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Wan Nurhidayat Wan Muhamad
Pemerhati Pertahanan
Chevening Alumni Malaysia