
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kerajaan menggariskan tiga ikrar kepada lebih 10 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti.
- Dedahkan laporan RCI berkaitan TH kepada umum dan bentangkan di Parlimen tanpa menyembunyikan maklumat termasuk angka sensitif.
- Tegakkan prinsip akauntabiliti tanpa pilih kasih; jalankan siasatan menyeluruh dan ambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan.
- Perkukuh TH dan pindaan Akta 535 untuk mengharamkan ahli politik aktif menjadi ahli lembaga pengarah pelaburan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia turut melibatkan usaha memperkukuh institusi berkenaan bagi memastikan sejarah pengurusan kewangan yang pernah berlaku tidak berulang.
“Ikrar pertama ialah memastikan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung TH didedahkan kepada umum dan dibentangkan di Parlimen tanpa menyembunyikan sebarang maklumat, termasuk angka yang mungkin menimbulkan kesan kepada pihak tertentu.
“Kedua adalah memastikan prinsip akauntabiliti ditegakkan tanpa pilih kasih, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.
“Ketiga memperkukuh TH supaya sejarah tidak berulang. Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) akan dipinda bagi melarang ahli politik aktif daripada menganggotai lembaga pengarah pelaburan TH,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH di Dewan Rakyat, hari ini.
Kerajaan turut bersedia mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr. Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan perkara yang dibentangkan.
“Tabung Haji bukan milik kerajaan dan bukan milik mana-mana parti. Ia adalah amanah umat Islam yang menyimpan sedikit demi sedikit dengan harapan untuk menunaikan ibadah haji.
“Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk menjaga amanah ini dengan jujur sehingga jutaan pendeposit akhirnya diberikan peluang menyahut seruan haji,” katanya lagi.