
WASHINGTON, 7 Oktober — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa kempen ketenteraan dan sekatan terhadap Iran telah memberi kesan besar terhadap ekonomi serta keupayaan pertahanan negara itu.
- Trump mendakwa kempen ketenteraan dan sekatan AS merosakkan ekonomi Iran dan keupayaan ketenteraan negara itu.
- Beliau kata pengeluaran peluru berpandu dan dron Iran turut merosot akibat tekanan itu.
- Trump dakwa sebahagian besar aset ketenteraan Iran, termasuk tentera udara dan laut, telah musnah dalam serangan AS.
- Beliau juga mengakui kepimpinan Iran tidak pasti dan menyatakan AS menanggung beban konflik sementara negara lain enggan bantu.
Trump berkata tekanan itu menyebabkan ekonomi Iran terjejas teruk, manakala keupayaan pengeluaran peluru berpandu dan dron Iran turut merosot.
“Ekonomi mereka musnah. Mereka berdepan kadar inflasi yang tiada tandingannya berbanding negara lain di seluruh dunia,” katanya.
Trump turut mendakwa sebahagian besar aset ketenteraan Iran, termasuk tentera udara dan tentera laut, telah musnah dalam serangan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Trump mengakui terdapat ketidakpastian mengenai kepimpinan Iran ketika ini.
“Tiada siapa tahu siapa yang sebenarnya mentadbir negara itu. Tiada siapa tahu, tetapi mungkin itu perkara yang baik,” dakwa Trump.
Trump turut berkata Amerika Syarikat kini menanggung sebahagian besar beban dalam konflik itu, selepas mendakwa negara lain enggan mengerahkan kapal untuk membantu usaha Washington.
“Kita sebenarnya sedang menanggung beban untuk seluruh dunia. Semuanya terletak di bahu kita,” tambahnya lagi – VIORY