
TANJONG TOKONG, 7 Ogos – Hampir 20 tahun beroperasi, Masjid Terapung Tanjong Bungah kini diberi nama baharu iaitu Masjid Syed Sheikh Al-Hadi selain turut diisytihar sebagai Masjid Pelancongan Negeri Pulau Pinang.
- Nama masjid dipilih untuk menghormati sumbangan Syed Sheikh Al-Hadi sebagai ulama, pendidik, penulis dan pembaharuan Islam.
- Masjid dibuka rasmi 2007 sebagai Masjid Kariah Tanjung Bungah dan dinaik taraf sebagai Masjid Daerah Timur Laut Disember 2021.
- MAINPP struktur semula fungsi kedua masjid, Masjid Terapung ditetapkan sebagai tarikan pelancongan manakala Masjid Habib sebagai masjid daerah pusat bandar.
Majlis pemasyhuran disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Nama tersebut dipilih bagi mengiktiraf tokoh pembaharuan Islam paling berpengaruh di Tanah Melayu pada awal abad ke-20.
Syed Sheikh Al-Hadi terkenal sebagai ulama, pendidik, penulis, wartawan, penerbit serta pemikir yang memperjuangkan kemajuan umat Islam melalui
ilmu, pendidikan dan kefahaman agama yang berpaksikan al-Quran dan As-Sunnah.
Masjid Syed Sheikh Al-Hadi mula dibuka secara rasmi pada tahun 2007 sebagai Masjid Kariah Tanjung Bungah sebelum dinaik taraf sebagai Masjid Daerah Timur Laut pada Disember 2021.
Ketika berucap pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, pengurusan institusi Islam di negeri ini dilaksanakan secara lebih fokus, profesional dan efisien seiring keputusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Ke arah itu, penstrukturan semula fungsi dua masjid utama di Daerah Timur Laut dilakukan melibatkan Masjid Terapung sebagai Masjid Pelancongan dan Masjid Habib sebagai Masjid Daerah Timur Laut.
“MAINPP bersetuju status ditingkatkan kerana potensi lokasinya yang strategik. Masjid Terapung menerima kunjungan pelancong yang tinggi sepanjang tahun, manakala Masjid Habib terletak di pusat bandar dan mudah diakses oleh semua kariah dalam Daerah Timur Laut,” katanya.