Aichi-Nagoya 2026: ASTAF rayu OCA benarkan penstriman sepak takraw

Sidang media Datuk Abdul Halim Kader (tengah) di Nagoya, Jepun hari ini sempena Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026/ ASTAF

NAGOYA, 23 September- Presiden Persatuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader merayu kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan jawatankuasa penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 supaya membenarkan penstriman secara langsung acara sepak takraw sepanjang temasya itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu rundingan dengan pihak teknikal OCA, ANOC dan jawatankuasa penganjur untuk memastikan pematuhan peraturan penyiaran serta penstriman.
  • Hak penyiaran Sukan Asia milik OCA; ISTAF, ASTAF dan PSM tidak mempunyai kaitan terhadap hak tersebut.
  • Skuad negara melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan India 3-0 dan akan berdepan Indonesia.

Beliau berkata perkara itu perlu dirundingkan bersama pihak teknikal yang bertanggungjawab berhubung urusan OCA, Persatuan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (ANOC) dan jawatankuasa penganjur bagi memastikan peraturan berkaitan penyiaran televisyen serta penstriman dipatuhi.

“Sukan Asia (Aichi-Nagoya), begitu juga Sukan Asia sebelum ini serta edisi akan datang di Doha dan Riyadh, adalah hak milik OCA. Ia tiada kaitan dengan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), ASTAF, Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) atau mana-mana anggota lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Datuk Abdul Halim berkata semua pihak perlu mematuhi peraturan OCA dan ANOC berhubung penyiaran televisyen serta penstriman, termasuk larangan melakukan penstriman acara sepak takraw ketika pertandingan berlangsung.

Beliau bagaimanapun memahami keinginan peminat di Malaysia untuk menyaksikan aksi sepak takraw menerusi penstriman dan berharap rundingan dengan jawatankuasa penganjur dapat membuahkan hasil.

“Marilah sama-sama kita berdoa semoga permintaan kami diluluskan oleh OCA dan jawatankuasa penganjur,” katanya.

Dalam aksi semalam, skuad sepak takraw negara melangkah ke separuh akhir acara regu berpasukan selepas muncul juara Kumpulan B, menewaskan India 3-0 pada perlawanan pelengkap kumpulan di Nagoya City Mizuho Arena.

Malaysia bakal berdepan naib juara Kumpulan A iaitu Indonesia, pada aksi separuh akhir dijadualkan pada Khamis ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.