Malaysia kuasai 80 peratus IPO Asia Tenggara, kumpul AS$1.4 bilion separuh pertama 2026

Gambar hiasan / Foto arkib BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Malaysia menguasai hampir 80 peratus daripada keseluruhan aktiviti tawaran awam permulaan (IPO) di Asia Tenggara pada separuh pertama 2026 apabila merekodkan 28 daripada 35 penyenaraian di rantau ini, menurut Ernst & Young (EY).

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia mengumpul AS$1.4 bilion daripada IPO separuh pertama 2026, meningkat berbanding AS$898 juta tahun sebelumnya.
  • Pelabur lebih selektif, menekankan asas perniagaan, keuntungan dan prospek pertumbuhan, menjadikan Malaysia destinasi menarik untuk modal.
  • Ketidaktentuan geopolitik dan perubahan peraturan serantau menyebabkan syarikat lebih berhati-hati dan menjejaskan sentimen serta prestasi selepas penyenaraian.

Berdasarkan Laporan Trend IPO Global EY : Separuh Pertama 2026, dalam tempoh tersebut, IPO di Malaysia berjaya mengumpul dana berjumlah AS$1.4 bilion, meningkat berbanding AS$898 juta yang dikumpulkan menerusi 29 IPO dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Kanan EY-Parthenon Malaysia, Strategi dan Pelaksanaan, EY PLT, Rafiq Saiful Aznir berkata, prestasi itu membuktikan daya tahan pasaran IPO Malaysia walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik serta keadaan pasaran global yang mencabar.

“Pada masa sama, jumlah kutipan IPO di Asia Tenggara meningkat sekitar 80 peratus tahun ke tahun kepada AS$2.5 bilion, disokong oleh penyenaraian berskala besar yang berjaya menarik penyertaan pelabur institusi.

Pelabur kini lebih selektif dengan memberi penekanan kepada asas perniagaan, keuntungan dan prospek pertumbuhan syarikat. Bagi syarikat yang memenuhi kriteria tersebut, Malaysia kekal sebagai destinasi yang menarik untuk mendapatkan modal dan merealisasikan aspirasi pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua IPO ASEAN EY, Chan Yew Kiang berkata, konflik di Asia Barat dan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan terus mempengaruhi sentimen penyenaraian pada suku kedua 2026.

Menurut beliau, perubahan peraturan di beberapa negara di rantau ini turut menyebabkan syarikat yang merancang untuk disenaraikan mengambil pendekatan lebih berhati-hati berikutan ketidakpastian prospek ekonomi dalam jangka pendek.

Beliau berkata, prestasi lemah sesetengah syarikat selepas penyenaraian turut mencerminkan sentimen pelabur yang masih berhati-hati susulan ketidaktentuan kadar faedah.

Di peringkat serantau, Asia Tenggara merekodkan 35 IPO yang berjaya mengumpul AS$2.5 bilion pada separuh pertama 2026.

Jumlah itu menurun 30 peratus berbanding 50 IPO dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, nilai kutipan meningkat kira-kira 85 peratus daripada AS$1.4 bilion kepada AS$2.5 bilion, didorong oleh penyenaraian berskala lebih besar yang menarik minat pelabur institusi.

Sepanjang tempoh itu, hanya empat pasaran di Asia Tenggara mencatatkan aktiviti IPO, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.