
KUALA KRAI, 4 Ogos – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 16,902 batang kayu pelbagai saiz dan spesies bernilai RM210,600 dalam serbuan di sebuah kilang kayu di Sungai Embak, Kuala Krai, semalam (3 Ogos).
- Lima lelaki tempatan, termasuk pemilik kilang, ditahan semasa serbuan.
- Pemeriksaan bersama Jabatan Perhutanan menemui 16,440 batang kayu siap diproses dan 462 batang kayu bulat dipercayai tidak bercukai.
- Kenderaan, jentera dan peralatan dirampas bernilai RM2,320,600; kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan mengikut Seksyen 84.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang itu, lima lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 62 tahun, termasuk pemilik kilang, turut ditahan.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata ketika serbuan, seorang lelaki sedang mengendalikan jentera berat, manakala empat lagi sedang memotong kayu di dalam kilang.
“Pemeriksaan bersama Jabatan Perhutanan menemukan 16,440 batang kayu siap diproses dan 462 batang kayu bulat pelbagai saiz serta spesies yang dipercayai tidak bercukai.
“Siasatan awal mendapati pemilik berusia 38 tahun mengaku kilang berkenaan mula beroperasi sejak April lalu dan premis itu disewa pada kadar RM4,000 sebulan,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, tiga pekerja terbabit dipercayai menerima upah RM40 bagi setiap satu tan kayu yang siap diproses, manakala pemandu mototrailer dibayar RM1,500 sebulan.
Menurut Ahmad Radzi, turut dirampas sebuah jentera berat, mototrailer, dua mesin bandsaw, dua mesin cross cut, sebuah mesin pengasah dan 45 mata gergaji.
Katanya, keseluruhan rampasan termasuk kenderaan, jentera dan peralatan bernilai RM2,320,600.
“Bekalan kayu yang diproses dipercayai diperoleh daripada penduduk setempat dan disyaki tidak bercukai sebelum kayu siap diproses diedarkan ke beberapa kilang pemprosesan palet di sekitar Kelantan,” katanya.

Kesemua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Jajahan Machang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).