
MARAN, 4 Ogos – Jenazah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd Radzi Rahimi bersama tiga ahli keluarganya yang maut selepas pikap dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong dekat Janda Baik, Bentong, semalam, selamat dikebumikan awal pagi tadi.
- Jenazah disemadikan dalam satu liang lahad sekitar pukul 3:15 pagi di Tanah Perkuburan Taman Sri Chedung, dihadiri keluarga, pemimpin politik dan kenalan.
- Jenazah dituntut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, dimandi dan dikafankan di Masjid Kampung Paya Luas, disolatkan di Masjid Asy-Syakirin.
- Kira-kira 12:30 tengah hari, empat maut selepas kenderaan dinaiki dihempap pokok, seorang lagi anak menerima rawatan di HOSHAH.
Keempat-empat mangsa disemadikan dalam satu liang lahad sekitar pukul 3:15 pagi di Tanah Perkuburan Taman Sri Chedung di sini dengan pengebumian dihadiri ahli keluarga, pemimpin politik dan kenalan.
Terdahulu, jenazah dituntut waris di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), Temerloh sebelum dimandi dan dikafankan di Masjid Kampung Paya Luas, Temerloh serta disolatkan di Masjid Asy-Syakirin, Maran.

Dalam kejadian kira-kira 12:30 tengah hari pada Isnin, Mohd Radzi,40; isterinya, Nuriani Mohammad Jafri,36; anak kembar mereka Muhammad Rizz Hazim,5; serta adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri,35, maut apabila kenderaan yang dinaiki dihempap sebatang pokok.
Seorang lagi anak kembar pasangan itu, Muhammad Rizz Haziq, menerima rawatan di HOSHAH selepas dipindahkan dari Hospital Bentong.