
PASIR MAS, 4 Ogos – Seorang lelaki ditahan selepas 100 biji pil kuda dan 750 mililiter air ketum ditemukan di dalam sebuah kereta di Taman Guru, Lubok Tapah di sini pada Ahad.
- Ditahan anggota Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am menerusi Op Taring Wawasan Kelantan; suspek berusia 30 tahun.
- Pemeriksaan menemui pil kuda dan air ketum di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang.
- Telefon bimbit, beg dan kenderaan turut dirampas; keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM18,522.50.
- Suspek dipercayai memperoleh bekalan dari Kubang Panjang, diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD untuk siasatan.
Suspek berusia 30 tahun itu ditahan anggota Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 4:15 pagi.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, kenderaan dipandu suspek ditahan di hadapan sebuah rumah selepas pihaknya menerima maklumat.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan pil kuda dan air ketum di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang.
“Turut dirampas sebuah telefon bimbit, beg dan kenderaan dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM18,522.50.
“Nilai pil kuda yang dirampas dianggarkan RM1,500 manakala air ketum RM22.50,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah dan air ketum daripada seorang lelaki di Kubang Panjang, Pasir Mas.
Katanya, pil kuda berkenaan dipercayai dijual kepada pembeli di sekitar Pasir Mas.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek bagaimanapun didapati negatif dadah,” katanya.
Suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.