
GUA MUSANG, 4 Ogos – Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke lima rumah berhampiran dalam kejadian membabitkan sebuah rumah separuh kekal di Kampung Baru Star, Jalan Jelawan Jeli di sini, awal pagi tadi.
- Sebuah rumah separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran.
- Bomba tiba selepas panggilan MERS 999 pada 12:49 malam, sebuah jentera FRT dan 11 anggota dikejarkan.
- Operasi menggunakan aliran 200 kaki dari tangki dan dua hos gegelung; tiada kecederaan dilaporkan, punca masih disiasat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada pukul 12:49 tengah malam sebelum sebuah jentera FRT bersama 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah rumah separuh kekal berkeluasan kira-kira 35 x 20 kaki sedang marak terbakar,” katanya ketka dihubungi RTM.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki bersumberkan air daripada tangki jentera, selain dua hos gegelung bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
Bagaimanapun rumah terbabit musnah sepenuhnya.
Beliau berkata, tindakan pantas anggota bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke lima rumah berhampiran.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban dalam kejadian itu. Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” tambah beliau.