Tiga rakyat Malaysia ditahan polis Thailand bawa 87kg syabu

Tiga rakyat Malaysia ditahan polis Thailand kerana membawa syabu seberat 87 kg bernilai kira-kira RM4.3 juta di Stesen Hatyai / Foto Pihak Berkuasa Thailand

KOTA BHARU, 4 Ogos – Tiga rakyat Malaysia ditahan polis Thailand selepas 87 kilogram (kg) dadah jenis syabu, bernilai kira-kira RM4.3 juta ditemui dalam bagasi mereka ketika menaiki kereta api dari Bangkok ke Hat Yai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ditahan di Stesen Hat Yai menerusi operasi bersepadu oleh Unit Pencegahan Narkotik, Polis Kereta Api, Polis Pelancong dan Pejabat Kawalan Narkotik Wilayah 9.
  • Pemeriksaan menemui methamphetamine kristal disembunyikan dalam tiga beg pakaian beroda dan tiga beg galas.
  • Siasatan awal mendapati dadah dipercayai untuk diserahkan kepada sindiket pengedaran di Malaysia.
  • Suspek mengaku ditawarkan upah RM8,000 seorang; siasatan dipergiat untuk kenal pasti dalang dan rakan subahat.

Ketiga-tiga suspek ditahan di Stesen Hat Yai menerusi operasi bersepadu yang dijalankan Unit Pencegahan Narkotik Polis Hat Yai bersama Polis Kereta Api Thailand, Polis Pelancong Thailand dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9.

Jurucakap polis Thailand berkata, suspek dalam perjalanan dari Bangkok ke Hat Yai sebelum dipintas dan diperiksa sebaik tiba di stesen berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis methamphetamine kristal (syabu) yang disembunyikan di dalam tiga beg pakaian beroda dan tiga beg galas,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai untuk diserahkan kepada sindiket pengedaran dadah di Malaysia.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek mengaku ditawarkan upah RM8,000 seorang bagi membawa dadah berkenaan ke destinasi yang telah ditetapkan.

“Siasatan sedang dipergiat bagi mengenal pasti dalang serta rakan subahat yang terbabit dalam sindiket pengedaran dadah rentas sempadan ini, sama ada di Thailand atau di luar negara,” katanya.

Ketiga-tiga suspek kini disiasat mengikut undang-undang berkaitan dadah Thailand.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.