RXZ Members 8.0: 1,850 saman dikeluarkan, 222 motosikal disita, 5 maut

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu – Foto Bernama

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Polis Terengganu mengeluarkan 1,850 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 222 motosikal sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu di negeri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 29 kes kemalangan jalan raya termasuk lima kemalangan maut dicatatkan semasa penganjuran, meningkat berbanding tahun 2025.
  • Tindakan diambil mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan; enam orang ditangkap kerana memandu melulu dan berbahaya.
  • PDRM menegaskan tiada layanan istimewa kepada peserta; turut mengesan lima kes narkotik dengan tiga tangkapan membabitkan dadah dan ketum.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, tindakan dilakukan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Enam individu turut ditangkap kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Tegas beliau, tiada layanan istimewa diberikan kepada mana-mana peserta yang melakukan kesalahan.

“PDRM menjalankan tugas memastikan keamanan di kawasan di lokasi, dan juga mengambil tindakan jika berlaku pelanggaran (undang-undang). Apa pun kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh peserta RXZ Members. Bersama bukti, kita tangkap dan keluarkan saman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini.

Datuk Mohd Khairi juga memaklumkan, secara keseluruhan, sebanyak 29 kes kemalangan jalan raya, termasuk lima kemalangan maut dengan lima kematian dicatatkan pada penganjuran tahun 2026, berbanding 11 kes yang direkodkan pada penganjuran tahun 2025.

Sementara itu, polis turut mengesan lima kes narkotik dengan tiga tangkapan, membabitkan penyalahgunaan dadah dan ketum.

Bagi kes curi motosikal, hanya satu kes dilaporkan pada tahun ini.

Manakala, statistik kes jenayah komersial pula, hanya satu kes penipuan direkodkan melibatkan penipuan tawaran inap desa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.