
KLANG, 3 Ogos – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap sebuah van syarikat keselamatan di Bandar Bukit Tinggi, Klang bulan lalu.
- Tertuduh didakwa menurut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda atau sebat.
- Hakim membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin; tertuduh perlu lapor diri setiap bulan dan sebutan semula pada 14 September.
- Polis merampas senapang pump gun jenama Mossberg, satu peluru 12 bore, dan pistol pelepas olahraga Ekol Lite bersama 48 peluru blank.
Ahmad Shukri Suhairin, 24, didakwa melakukan rompak terhadap seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun, bersenjatakan sepucuk pistol jenis revolver sebelum melarikan selaras senapang jenis pump gun milik sebuah syarikat keselamatan di depan cawangan sebuah bank pada 5.45 petang, 20 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 397 KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar mencadangkan jaminan RM10,000 dan syarat yang bersesuaian terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, pihak pembelaan merayu jaminan lebih rendah selepas memaklumkan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain menghidap masalah psikiatri seperti kebimbangan dan kemurungan.
Hakim Mujib Saroji membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menetapkan sebutan semula kes pada 14 September depan.
Terdahulu, suspek diberkas Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam operasi khas di Shah Alam pada 23 Julai lalu.
Polis turut merampas senapang jenis pump gun jenama Mossberg bersama sebutir peluru 12 bore, selain sepucuk pistol pelepas olahraga jenama Ekol Lite beserta 48 butir peluru blank.