Junior Innovathon 2027 sasar penyertaan lebih ramai


Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR, 2 November – Pertandingan Junior Innovathon akan diperluas tahun hadapan dengan menyasarkan penyertaan lebih ramai pelajar, termasuk dari sekolah pedalaman dan luar bandar bagi mencungkil bakat baharu dalam bidang inovasi serta reka cipta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertandingan disifatkan sebagai platform mencungkil kreativiti serta menggalakkan golongan muda menghasilkan inovasi yang menyelesaikan masalah sebenar.
  • Tumpuan pada pengkomersilan ciptaan melalui kerjasama dengan IPT dan rakan strategik swasta; perhatian kepada pendaftaran harta intelek.
  • Penganjuran sambut pemenang musim kedua, anugerah khas dan mengalu-alukan lebih banyak penaja serta sumbangan dana untuk memperluas skala.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sambutan menggalakkan terhadap penganjuran tahun ini menunjukkan potensi pertandingan itu untuk terus berkembang sebagai platform mencungkil kreativiti serta menggalakkan golongan muda menghasilkan inovasi yang mampu menyelesaikan masalah sebenar.

“Kita mengharapkan dengan adanya pertandingan Junior Innovathon ini, peserta bukan sekadar mereka cipta tetapi mampu meyakinkan bahawa rekaan mereka dapat menyelesaikan masalah ataupun cabaran yang cuba diatasi,” katanya pada sidang media selepas pertandingan itu di Angkasapuri, malam tadi.

Turut hadir Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Datuk Wan Hashim Wan Rahim serta Timbalan KSU (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil.

Akmal Nasrullah berkata usaha mengkomersialkan hasil ciptaan peserta turut diberi tumpuan, termasuk menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) serta rakan strategik sektor swasta bagi memperluas potensi pasaran produk berkenaan.

“Mereka telah membuktikan bahawa ciptaan itu bukan sekadar layak masuk ke pertandingan Junior Innovathon malah telah mendapat sijil tertentu. Ini membuktikan rekaan itu mempunyai nilai.

“Sudah pasti cabarannya selepas ini adalah bagaimana tahap reka cipta mereka ini ada nilainya dari segi harta intelek yang perlu didaftarkan,” katanya.

Beliau berkata penganjuran edisi seterusnya turut mengalu-alukan penglibatan lebih ramai rakan penaja dan penyumbang dana bagi membolehkan skala pertandingan dipertingkatkan.

Terdahulu, pentas akhir program realiti inovasi terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Junior Innovathon Musim Kedua menyaksikan kumpulan Skedar Royals dari Sekolah Kebangsaan Bandar, Selangor dinobatkan sebagai juara kategori terbuka sekolah rendah, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta sijil, trofi dan tablet.

Kategori terbuka sekolah menengah pula dimenangi kumpulan Robotiyaz dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pulau Pinang yang membawa pulang wang tunai RM30,000 serta RM10,000 untuk pihak sekolah.

Daripada 1,877 pasukan yang mendaftar, hanya 10 pasukan terbaik merangkumi lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah mara berentap pada kemuncak program anjuran bersama Kementerian Ekonomi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu.

Beberapa anugerah khas tajaan rakan strategik turut dipertandingkan bagi mengiktiraf usaha pelbagai pihak, antaranya Anugerah Tunas Kencana yang melibatkan murid berkeperluan pendidikan khas, Anugerah Guru Inovasi dan Anugerah Persembahan Inovasi Terbaik. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.