TPM Kemboja Prak Sokhonn tiba untuk lawatan rasmi, JCBC ke-3

Foto BERNAMA

SEPANG, 3 Ogos – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn, mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga 4 Ogos bagi menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Malaysia-Kemboja Kali Ketiga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan rasmi bertujuan memperkukuh hubungan dwi hala dan meningkatkan kerjasama strategik antara Malaysia dan Kemboja, terutamanya dalam bidang ekonomi dan politik.
  • Prak Sokhonn dijadual bersama mempengerusikan Mesyuarat JCBC Malaysia-Kemboja Ke-3 sebagai platform penting merancakkan hubungan diplomatik dan kerjasama sedia ada.
  • Perdagangan dua hala meningkat 27.4 peratus pada 2025, mencapai RM5 bilion, dengan eksport RM4.13 bilion dan import RM0.88 bilion.
  • Sehingga 2024, pelaburan terkumpul Malaysia di Kemboja USD3.20 bilion melibatkan 162 projek, menjadikan Malaysia pelabur asing ketiga terbesar.

Beliau bersama delegasi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.48 petang menaiki penerbangan MH755.

Lawatan rasmi ini adalah atas jemputan kerajaan Malaysia dan bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta mempertingkat kerjasama strategik antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang ekonomi dan politik.

Dalam rangka lawatan tersebut, Prak Sokhonn dijadualkan mempengerusikan bersama Mesyuarat JCBC Malaysia-Kemboja Ke-3, yang menjadi platform penting dalam merancakkan hubungan diplomatik serta menyuntik momentum baharu kepada kerjasama sedia ada.

Selain itu, beliau turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Prestasi perdagangan dua hala Malaysia-Kemboja terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila mencatat pertumbuhan sebanyak 27.4 peratus pada 2025, mencecah RM5 bilion (USD1.17 bilion) berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, eksport Malaysia ke Kemboja merekodkan RM4.13 bilion (USD970 juta), manakala import dari negara itu berjumlah RM0.88 bilion (USD200 juta).

Sehingga 2024, pelaburan terkumpul Malaysia di Kemboja pula mencecah USD3.20 bilion (RM13.07 bilion) melibatkan 162 projek berdaftar, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pelabur asing ketiga terbesar di negara berkenaan.

Turut hadir menyambut ketibaan beliau di KLIA ialah Duta Besar Kemboja ke Malaysia, Ouk Chandara dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Malaysia, Datuk Rozainor Ramli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.