Skop RUU Kebebasan Maklumat diteliti secara menyeluruh – Azalina

Foto RTM

Putrajaya, 3 Ogos – Jawatankuasa berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI) 2026 akan mengadakan mesyuarat pertama esok bagi menetapkan terma rujukan sebagai panduan dalam proses penelitian serta penyediaan syor sebelum dibentangkan di Parlimen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penubuhan jawatankuasa dwipartisan melalui JKPK untuk memastikan penelitian RUU dibuat secara menyeluruh dan mengambil kira pelbagai pihak berkepentingan.
  • Mesyuarat akan memberi tumpuan menetapkan terma rujukan sebagai panduan sebelum memuktamadkan syor dan rumusan hasil penelitian.
  • Kerajaan akan menilai maklum balas NGO serta pihak berkepentingan, termasuk cadangan perluaskan skop FOI, selaras prinsip tadbir urus telus.

Penubuhan jawatankuasa itu melibatkan penyertaan secara dwipartisan menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) bagi memastikan penelitian terhadap RUU berkenaan dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mesyuarat pertama berkenaan akan memberi tumpuan kepada penetapan terma rujukan, sebelum mesyuarat seterusnya diadakan bagi memuktamadkan syor serta rumusan hasil penelitian.

“Beberapa isu dan kebimbangan telah dibangkitkan berhubung kandungan utama RUU berkenaan, termasuk pandangan supaya skop kebebasan maklumat diperluaskan agar lebih menyeluruh.

“Jika diperhatikan maklum balas yang dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa pihak berkepentingan, terdapat pandangan bahawa skop RUU Kebebasan Maklumat perlu diperluaskan agar lebih menyeluruh.

“Kita akan menilai semua pandangan itu secara terperinci sebelum sebarang syor dimuktamadkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), hari ini.

Sebelum ini, pada 13 Julai lalu, Azalina memaklumkan kerajaan akan membentangkan usul untuk merujuk RUU Kebebasan Maklumat (FOI) 2026 kepada JKPK bagi membolehkan penelitian lebih mendalam dilaksanakan menerusi sesi libat urus bersama Ahli Parlimen serta pihak berkepentingan.

Langkah itu selaras dengan usaha memastikan RUU berkenaan mengambil kira keperluan semasa, kepentingan awam serta prinsip tadbir urus yang lebih telus dan berakauntabiliti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.