BAHTERA 2026: Perkukuh rantaian pemasaran hasil ikan

Foto RTM

TEMERLOH, 27 September – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperkukuh rantaian pemasaran sektor perikanan negara menerusi penganjuran Bazar Himpunan Usahawan Pemasar Ikan dan Penternak Akuakultur (BAHTERA) 2026 yang menghimpunkan pengeluar, pemasar dan pengguna dalam satu platform berpusat.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAHTERA memendekkan rantaian pemasaran dan mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah, memberi akses terus kepada pengguna.
  • Pahang dipilih pelancaran pertama dengan konsep memperkasa usahawan tempatan dan membawa hasil laut segar terus ke meja pengguna.
  • Tiga zon utama: Zon Segar, Zon Pemprosesan dan Zon Kulinari mempamerkan hasil laut, produk hiliran dan hidangan tempatan.
  • Inisiatif memberi peluang penjimatan antara 10 hingga 30 peratus, bergantung kepada jenis produk dan keadaan pasaran.

Ketua Pengarah LKIM, Dato’ Dr. Abdul Salim Tajudin berkata inisiatif itu dapat membantu memendekkan rantaian pemasaran dan mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah, sekali gus memberi peluang kepada pengguna mendapatkan hasil perikanan pada harga lebih kompetitif.

“BAHTERA menjadi platform pemasaran berpusat yang menghimpunkan pengeluar, pemasar dan pengguna, sekali gus membantu memendekkan rantaian pemasaran serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran BAHTERA 2026 di Dataran Temerloh, di sini semalam.

Pahang dipilih sebagai lokasi pertama peluncuran program berkenaan yang membawa konsep “Memperkasa Usahawan Tempatan, Membawa Hasil Laut Segar Terus ke Meja Anda”.

Program yang berlangsung selama dua hari, 25 hingga 26 September itu menghimpunkan 36 usahawan tempatan dengan sasaran nilai jualan RM200,000 serta kehadiran 5,000 pengunjung.

BAHTERA 2026 menampilkan tiga segmen utama iaitu Zon Segar, Zon Pemprosesan dan Zon Kulinari.

Zon Segar menawarkan pelbagai hasil laut dan air tawar termasuk ikan, udang, sotong, patin dan tilapia, manakala Zon Pemprosesan mengetengahkan produk hiliran, produk kering serta ikan sejuk beku QFish.

Zon Kulinari pula menampilkan pelbagai hidangan berasaskan hasil perikanan tempatan sebagai tarikan kepada pengunjung.

Inisiatif berkenaan turut memberi peluang kepada pengguna mendapatkan hasil perikanan lebih dekat dengan sumber bekalan pada harga kompetitif, dengan sasaran penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran biasa.

Bagaimanapun, kadar penjimatan itu bergantung kepada jenis produk dan keadaan pasaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.