
KUALA LUMPUR, 27 September – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan empat warga asing dalam operasi khas di sebuah pusat hiburan di sekitar Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
- Terdapat penahanan warga China dan Filipina; usia 21 hingga 31; tiada dokumen perjalanan atau pas sah.
- Operasi melibatkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan Ibu Pejabat dan Kuala Lumpur.
- Pusat hiburan dipercayai menawarkan persembahan tarian warga asing, menyasarkan pelanggan tempatan dan asing; bayaran antara RM53 hingga RM700.
- Warga asing disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen; tiga lelaki tempatan diberi notis; JIM komited meneruskan penguatkuasaan.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penahanan itu melibatkan tiga lelaki warganegara China dan satu lelaki warganegara Filipina.
Menurutnya, operasi itu melibatkan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Ibu Pejabat dan Kuala Lumpur.
“Kesemua warga asing yang ditahan berumur antara 21 hingga 31 tahun. Semakan awal mendapati, kesemua warga asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pusat hiburan berkenaan dipercayai menawarkan hiburan dan persembahan tarian oleh warga asing, dengan menyasarkan pelanggan tempatan serta warga asing di sekitar Lembah Klang.
“Bayaran yang dikenakan bermula dari RM53.00 hingga RM700.00 mengikut minuman dan tempahan meja oleh pelanggan. Pusat hiburan ini dipercayai telah beroperasi sejak tahun lalu,” katanya.
Kesemua warga asing berkenaan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, tiga lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.
JIM turut menegaskan komitmen untuk meneruskan penguatkuasaan secara berterusan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang negara.