
KUANTAN, 27 September – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu yang melintas secara tiba-tiba di Jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran Masjid Kampung Chendor, Cherating, pagi tadi.
- Mangsa berusia 23 tahun menunggang motosikal dari Cherating ke Kampung Geliga sebelum melanggar lembu yang tiba-tiba melintas.
- Kejadian berlaku kira-kira 6.30 pagi ketika mangsa melalui lokasi berkenaan.
- Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi; mayat dibawa ke HTAA untuk bedah siasat.
- Polis mengesyaki mangsa turut digilis kenderaan lain; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mangsa berusia 23 tahun itu menunggang motosikal dari arah Cherating menghala ke Kampung Geliga sebelum melanggar lembu berkenaan yang tiba-tiba melintas jalan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah, berkata kejadian berlaku kira-kira 6.30 pagi ketika mangsa melalui lokasi berkenaan.
“Lembu berkenaan tiba-tiba melintas dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan mangsa tidak sempat membrek sebelum melanggar haiwan terbabit dan tercampak ke atas jalan raya,” katanya.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.
Polis turut percaya mangsa disyaki digilis kenderaan lain yang masih belum dikenal pasti.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hamizan Che Salmi di talian 011-3045 1140 atau mana-mana balai polis berhampiran.