
KUANTAN, 27 September – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Bypass Kuantan, berhampiran Terminal Sentral Kuantan, awal pagi tadi.
- Seorang lelaki maut selepas motosikalnya dipercayai hilang kawalan, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala.
- Dua lagi penunggang cedera dan dibawa orang awam ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk menerima rawatan.
- Polis menyiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; orang ramai diminta hubungi Inspektor Muhammad Hamizan.
Mangsa berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar dua motosikal lain.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah, berkata kejadian berlaku kira-kira 2.35 pagi ketika motosikal berkenaan bergerak dari arah Jalan Sultan Abdullah menghala ke Semambu.
“Penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, dua lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu dibawa orang awam ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk menerima rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Hamizan Che Salmi di talian 011-3045 1140 atau mana-mana balai polis berhampiran.