
KUALA LUMPUR, 27 September – Sukan basikal imbang atau lebih dikenali sebagai push bike semakin mendapat perhatian sebagai aktiviti awal yang membantu membentuk disiplin dan kemahiran asas berbasikal dalam kalangan kanak-kanak seawal usia dua tahun.
- Push bike sebagai medium pembelajaran awal membentuk disiplin, fokus serta kekuatan fizikal dan mental kanak-kanak.
- Berbeza daripada basikal berpengayuh, tiada pedal, digerakkan dengan tolakan kaki membantu menguasai keseimbangan dan kawalan basikal.
- Sesuai diperkenalkan kepada kanak-kanak usia dua hingga sembilan tahun, dengan pertandingan dan latihan berkembang di pelbagai lokasi.
- Utamakan keselamatan, latihan di trek khas dengan penghadang dan kon; elakkan jalan raya; gunakan roller trainer di rumah untuk pengukuhan kaki.
Pengurus pasukan Adda Cycle Pro Team, Mohd Salmi Hassan berkata pendedahan kepada sukan itu sejak usia muda turut memberi manfaat terhadap perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.
“Push bike bukan sekadar alat permainan, sebaliknya medium pembelajaran awal yang dapat membentuk disiplin dan fokus, selain membantu membina kekuatan fizikal dan mental mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bersiaran dalam program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.
Beliau berkata push bike berbeza daripada basikal biasa kerana tidak mempunyai pengayuh dan digerakkan menggunakan tolakan kaki, sekali gus membantu kanak-kanak menguasai keseimbangan serta kawalan basikal.
Katanya, kemahiran itu menjadi asas sebelum kanak-kanak beralih kepada basikal berpengayuh.
Pada masa sama, beliau berkata sukan itu sesuai diperkenalkan kepada kanak-kanak berusia antara dua hingga sembilan tahun, dengan penglibatan yang semakin berkembang menerusi penganjuran pertandingan dan program latihan di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru, utara Semenanjung dan Pantai Timur.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sukan “Push bike mengutamakan aspek keselamatan dengan setiap peserta menjalani latihan di trek khas yang disediakan.
“Kita menyediakan penghadang keselamatan, kon dan aspek keselamatan yang baik. Sukan ini tidak digalakkan dijalankan di tengah jalan kerana boleh membahayakan kanak-kanak.
“Justeru, kita menggunakan trek khas bagi memastikan keselamatan mereka lebih terjamin,” katanya.
Menurutnya, latihan di rumah turut boleh dilakukan menggunakan push bike roller trainer sebagai persiapan fizikal, khususnya bagi membantu menguatkan kaki kanak-kanak.