
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kementerian Pengangkutan (MOT) memperhalusi pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) bagi mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan mencuri kabel yang menjejaskan keselamatan aset dan operasi pengangkutan awam negara.
- Timbalan Menteri: hukuman lebih berat penting kerana kesalahan mencuri kabel menjejaskan perkhidmatan rel.
- Pindaan undang-undang masih dirangka dan dijangka dibentang ke sidang dewan hujung tahun ini.
- KTMB rekod 432 kes kecurian kabel kerugian RM16.3 juta; Prasarana rekod 163 kes kerugian kira-kira RM29 juta.
- Kerajaan perluas pemantauan teknologi: 1,146 CCTV dirancang sepanjang laluan rel, 256 unit telah dipasang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata hukuman lebih berat itu penting, berikutan kesalahan tersebut memberi kesan kepada perkhidmatan rel.
“Kita berharap dengan pindaan ini nanti dapat memperketatkan lagi undang-undang sekali gus mengurangkan jumlah kes kesalahan terbabit.
“Mungkin hukuman ketika ini agak ringan kalau berkaitan kesalahan mencuri dengan jumlah denda hanya RM1,000 sahaja. Pindaan masih dirangka dan dijangka dibentang ke sidang dewan hujung tahun ini,” katanya.
Datuk Hasbi berkata bagi tempoh 2024 hingga Jun 2026, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) merekodkan 432 kes kecurian kabel melibatkan anggaran kerugian RM16.3 juta, manakala Prasarana Malaysia Berhad pula merekodkan 163 kes dengan kerugian kira-kira RM29 juta.
Menurut beliau, kerajaan turut memperluas penggunaan teknologi pemantauan apabila 1,146 sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang sepanjang laluan rel dari Johor hingga ke utara dengan 256 unit telah dipasang.
Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli berhubung statistik kes kecurian kabel yang telah diselesaikan di Dewan Negara hari ini.