Kurang 1 peratus penerima guna lebih 200 liter RON95 sebulan

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan / Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kurang daripada satu peratus penerima BUDI95 menggunakan lebih 200 liter RON95 secara konsisten berdasarkan data penggunaan sebenar bagi tempoh Oktober 2025 hingga Jun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Had kelayakan semasa mencukupi untuk majoriti penerima tanpa menjejaskan corak penggunaan harian mereka.
  • BUDI95 menghentikan subsidi pukal kepada golongan tidak layak termasuk bukan warganegara dan pengguna komersial.
  • Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan berdasarkan data penggunaan, harga tenaga global, kedudukan fiskal dan maklum balas rakyat.
  • Cadangan OECD untuk gantikan BUDI95 dengan bantuan tunai tidak sesuai; kerajaan pilih reformasi subsidi berperingkat dan bersasar.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ia sekaligus menunjukkan had kelayakan semasa adalah mencukupi untuk menampung keperluan majoriti penerima tanpa menjejaskan corak penggunaan harian mereka.

“Melalui pelaksanaan Budi 95, subsidi yang tidak lagi dinikmati secara pukal oleh golongan yang tidak layak termasuklah bukan warga negara serta pengguna komersial.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan Budi 95 berdasarkan data penggunaan sebenar, harga pasaran tenaga global, kedudukan fiskal negara dan maklum balas rakyat. Sebarang penambahbaikan dalam masa hadapan akan dibuat secara berhemah bagi memastikan subsidi terus melindungi rakyat yang layak tanpa menjejaskan kemampanan fiskal negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pertanyaan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Bobbey Suan mengenai impak penjimatan tahunan hasil pelaksanaan subsidi bersasar RON95 di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, mengulas cadangan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) supaya Program BUDI95 dimansuhkan sepenuhnya dan digantikan dengan bantuan tunai bersasar, beliau berkata pendekatan sedemikian tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia buat masa kini.

Sebaliknya, beliau menegaskan kerajaan memilih untuk melaksanakan reformasi subsidi secara berperingkat dan bersasar bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Pendekatan yang diperkenalkan kerajaan ketika ini berjaya memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat mahupun kemampanan fiskal negara.” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.