BUDI95: Penjimatan fiskal cecah RM4bilion setahun, dimanfaat perkukuh bantuan rakyat

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan / Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Anggaran penjimatan fiskal negara antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun menerusi pelaksanaan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dimanfaatkan semula bagi memperkukuh bantuan bersasar kepada rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penjimatan subsidi dimanfaatkan untuk memperkukuh bantuan bersasar kepada golongan memerlukan dan memperluas jaringan perlindungan sosial.
  • Peruntukan dinaikkan: RM15 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, JKM 2026 meningkat kepada RM3.1 bilion.
  • Peruntukan RM1 bilion untuk program kos sara hidup termasuk Jualan Rahmah Madani (RM600 juta) dan hampir RM800 juta Bantuan Awal Persekolahan yang universal.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penjimatan hasil pelaksanaan penyasaran subsidi itu membolehkan kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan kepada golongan yang memerlukan sekali gus mengukuhkan jaringan perlindungan sosial yang lebih inklusif.

“Antaranya termasuk peningkatan peruntukan kepada RM15 bilion untuk sumbangan tunai rahmah dan sumbangan asas rahmah merupakan peruntukan yang tertinggi pernah disediakan. Peruntukan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) bagi tahun 2026 juga meningkat kepada RM3.1 bilion berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Peruntukan RM1 bilion untuk program menangani kos hara hidup antaranya program Jualan Rahmah Madani yang telah ditingkatkan peruntukan kepada RM600 juta berbanding RM100 juta sejak ia diperkenalkan pada tahun 2023,” katanya.

Tambah beliau, kekerapan Program Jualan Rahmah MADANI juga dipertingkatkan daripada tiga kali kepada empat kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, kerajaan turut menyediakan hampir RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan yang diberikan kepada semua murid tanpa mengira latar belakang pendapatan.

Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Bobbey Suan berhubung impak penjimatan tahunan daripada pelaksanaan subsidi bersasar RON95 di Dewan Negara hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.