The Knights Award buka akses ke 56 negara Komanwel menerusi tiga MoU strategik

Dari kiri : Dato’ Haji Ismail Nordin, Pengerusi Financial Consulting Cooperative Limited; Bon Zainal, Pengasas Malaysia Bumiputra Designer Association; Cecilia Lim, Pengarah Partnership & Stakeholder Management, Commonwealth Youth Innovation Hub; Dato’ Sasikala, Bekas Timbalan Ketua Polis Selangor; Dr. Zyro Wong, Presiden The Knights Award; Esther Hor, Rakan Kongsi Naqiz & Partners; YM Engku Dato’ Abd Aziz, Ahli Kerabat Diraja Perak; dan Dato’ Jonathan Lim, Pengarah Eksekutif Systech Berhad.

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – The Knights Award membuka peluang kerjasama merentas 56 negara anggota Komanwel menerusi pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) strategik sempena pelancaran Musim Ke-5, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai platform menghubungkan komuniti perniagaan di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkongsian dengan Commonwealth Youth Innovation Hub memperkukuh pembinaan kepimpinan, perkongsian ilmu dan inisiatif berimpak untuk memperkasa belia, usahawan dan inovator.
  • Regal Global dilantik rakan kediaman rasmi menyediakan penyelesaian penginapan dan hospitaliti, memberi impak positif kepada sektor hartanah, hospitaliti dan MM2H.
  • TheWebxite dilantik rakan penyelesaian IT rasmi bagi memperkukuh infrastruktur digital dan kehadiran dalam talian, menyokong pengembangan platform ke peringkat global.

Tiga kerjasama strategik itu membabitkan Commonwealth Youth Innovation Hub, Regal Global dan TheWebxite yang dijangka memperluas jaringan perniagaan rentas sempadan, mempercepat transformasi digital serta menyokong pembangunan ekosistem keusahawanan dan pelaburan.

MoU bersama Commonwealth Youth Innovation Hub dijangka melebarkan kerjasama membabitkan 56 negara anggota Komanwel menerusi pembangunan kepimpinan, perkongsian ilmu serta pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi bagi memperkasa golongan muda, usahawan dan inovator.

Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong berkata, kerjasama berterusan itu mengukuhkan usaha memposisikan Malaysia sebagai hab global bagi keusahawanan, budaya dan pembangunan mampan.

“Tahun ini menandakan satu pencapaian penting apabila kerjasama ini menghubungkan pemimpin muda serta pihak berkepentingan dari 56 negara anggota Komanwel, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Regal Global dilantik sebagai Rakan Kediaman Rasmi The Knights Award Musim Ke-5 bagi menyediakan penyelesaian penginapan dan hospitaliti kepada delegasi antarabangsa yang menghadiri program berkenaan.

Kerjasama itu dijangka memberi impak positif kepada sektor hartanah, hospitaliti serta Program Malaysia My Second Home (MM2H).

Dalam perkembangan sama, TheWebxite dilantik sebagai Rakan Penyelesaian IT Rasmi bagi memperkukuh infrastruktur digital dan kehadiran dalam talian The Knights Award, selaras usaha memperluaskan pengaruh platform itu ke peringkat global.

Majlis Penganugerahan The Knights Award Musim Ke-5 dijadual berlangsung pada Oktober ini di Dewan Filharmonik PETRONAS, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan dijangka menghimpunkan pemimpin perniagaan, pelabur, inovator serta tokoh dari dalam dan luar negara.

Sejak diperkenalkan, The Knights Award telah mengiktiraf lebih 180 individu dan organisasi daripada pelbagai sektor sepanjang empat musim penganjurannya, sekali gus berkembang sebagai platform yang menghubungkan kepimpinan, inovasi dan peluang perniagaan di peringkat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.