
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Kerajaan menegaskan setiap pelaburan asing yang masuk ke Malaysia mesti membina keupayaan syarikat tempatan dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, bukan sekadar meningkatkan nilai pelaburan atau menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata.
- RMK13 menekankan impak pelaburan asing melalui pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan pengukuhan ekosistem industri.
- Kejayaan negara diukur berdasarkan manfaat kepada rakyat dan industri, bukan semata-mata nilai pelaburan.
- Sektor semikonduktor dan teknologi tinggi perlu fokus reka bentuk, pembuatan termaju, pembangunan harta intelek serta produk berjenama Malaysia.
- Kerjasama industri, IPT dan institusi TVET disokong dasar jelas, tadbir urus data kukuh serta penggunaan tenaga dan air mampan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pendekatan itu menjadi antara fokus utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan pelaburan asing memberi limpahan manfaat kepada ekonomi domestik menerusi pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan dan pengukuhan ekosistem industri.
Menurut beliau, kejayaan negara tidak lagi diukur berdasarkan nilai pelaburan yang diterima semata-mata, sebaliknya melalui impak yang dinikmati rakyat dan industri tempatan.
“Malaysia komited memastikan pertumbuhan ini membina keupayaan dalam negara melalui penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperdalam rantaian bekalan tempatan serta mengembangkan ekosistem kejuruteraan, pengkomputeran awan, keselamatan siber dan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada AMEU Economics Summit 2026 di Bank Negara Malaysia, di sini, hari ini.
Akmal berkata, pendekatan sama akan terus diterapkan dalam pembangunan industri semikonduktor dan sektor berteknologi tinggi lain dengan Malaysia perlu bergerak lebih jauh dalam bidang reka bentuk, pembuatan termaju, pembangunan harta intelek serta penghasilan produk dan perkhidmatan berjenama “Made by Malaysia”.
Menurut beliau, usaha itu memerlukan kerjasama lebih erat antara industri, institusi pengajian tinggi dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain disokong dasar yang jelas, tadbir urus data yang kukuh serta penggunaan sumber tenaga dan air secara mampan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelaburan global apabila merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM92.8 bilion pada suku pertama tahun ini.
Daripada jumlah itu, sektor pusat data dan pengkomputeran awan menyumbang RM34.6 bilion menerusi 33 projek, sekali gus meletakkan Malaysia dalam kelompok 10 destinasi utama dunia bagi pembangunan pusat data.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak mahu Malaysia hanya dikenali sebagai destinasi pelaburan, sebaliknya mahu memastikan setiap pelaburan memberi nilai tambah kepada ekonomi negara melalui pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan dan penyediaan pekerjaan berkualiti.