
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Prestasi ekonomi Malaysia dijangka terus mencatatkan pertumbuhan kukuh pada separuh kedua tahun ini, disokong langkah intervensi kerajaan serta asas ekonomi negara yang kekal berdaya tahan.
- Pertumbuhan separuh pertama 2026 mencapai 5.6 peratus; berpotensi capai unjuran BNM 4.0 hingga 5.0 peratus.
- Kerajaan memastikan bekalan minyak stabil hingga hujung tahun bagi mengekalkan momentum ekonomi dan menyokong aktiviti perniagaan.
- Penganjuran Formula 1 dijangka memacu pelancongan, menarik pelancong asing dan memberi limpahan manfaat kepada peniaga kecil serta sektor perkhidmatan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika memaklumkan jangkaan itu berkata antara langkah yang diambil kerajaan termasuk memastikan bekalan minyak kekal stabil hingga akhir tahun yang dijangka membantu mengekalkan momentum ekonomi Malaysia.
“Bagi separuh pertama tahun ini, pertumbuhan ekonomi telah mencapai 5.6 peratus, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan baik untuk mencapai unjuran pertumbuhan 4.0 hingga 5.0 peratus yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Walaupun kita mengharapkan prestasi terbaik untuk separuh kedua tahun ini, dalam masa sama kita perlu bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,”katanya selepas menghadiri Association of Malaysian Economics Undergraduates (AMEU) Economics Summit 2026.
Beliau dalam masa sama, turut memaklumkan Malaysia kekal berwaspada dengan perkembangan geopolitik di Asia Barat, khususnya ketegangan di Selat Hormuz yang masih memberi tekanan terhadap bekalan minyak global.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyatakan penganjuran Formula 1 (F1) dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara, khususnya sektor pelancongan.
“Penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti F1 berupaya menarik kemasukan pelancong asing yang memberi sumbangan serta limpahan menerusi perbelanjaan dalam negara.
“Malah, hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menekankan manfaat penganjuran acara besar seperti itu bukan hanya menguntungkan segmen-segmen tertentu tetapi juga memberi limpahan kepada peniaga-peniaga kecil,”jelasnya.