
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyifatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebanyak 5.7 peratus pada 2025 bukti sektor itu kekal pemacu utama ekonomi negara.
- PMKS menyumbang hampir 40 peratus kepada KDNK dan menunjukkan peningkatan produktiviti tenaga kerja.
- Pendigitalan, automasi dan penggunaan AI mendorong produktiviti serta meningkatkan eksport sektor PMKS.
- PMKS berdepan tekanan margin akibat kenaikan kos operasi, kos pematuhan dan persaingan yang semakin sengit.
- SAMENTA mahu kerajaan mempercepat reformasi peraturan dan beri insentif berasaskan produktiviti untuk galak AI, pendigitalan dan automasi.
Presidennya, Datuk William Ng berkata, PMKS menyumbang RM689.8 bilion atau 39.7 peratus kepada KDNK, selain mencatat peningkatan produktiviti tenaga kerja sebanyak 4.1 peratus kepada RM85,299 bagi setiap pekerja.
“Prestasi turut didorong usaha PMKS mempercepatkan pendigitalan, automasi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), selain eksport sektor berkenaan meningkat 10.5 peratus kepada RM214.5 bilion pada 2025 “,katanya dalam kenyataan.
Beliau bagaimanapun mengakui pencapaian itu tidak menggambarkan sepenuhnya cabaran sebenar yang dihadapi PMKS.
Ini termasuk tekanan margin keuntungan akibat peningkatan kos operasi, kos pematuhan dan persaingan yang semakin sengit.
Sehubungan itu, persatuan mengharapkan kerajaan mempercepat reformasi peraturan bagi mengurangkan beban pematuhan, di samping memberi tumpuan kepada insentif berasaskan produktiviti untuk menggalakkan penggunaan AI, pendigitalan dan automasi.
“Langkah itu penting bagi memastikan PMKS mampu mengekalkan momentum pertumbuhan dan mencapai sasaran menyumbang 40 peratus kepada KDNK negara,”katanya.