
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Lebih 500 memorandum kerjasama dimeterai Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan pemain industri bagi memastikan graduan GIATMARA serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA mendapat peluang pekerjaan selaras dengan kemahiran yang dipelajari.
- Kadar kebolehpasaran graduan tercatat 99.2 peratus hasil kerjasama strategik bersama industri dan latihan memenuhi keperluan pasaran kerja.
- Program TVET dirangka berdasarkan keperluan komuniti setempat, industri tempatan serta potensi keusahawanan.
- Contoh GIATMARA Miri dengan Berjaya Ship Yard menunjukkan latihan gabungan 33 bulan di GIATMARA dan 3 bulan di Ship Yard, serta peluang pekerjaan.
- MARA memperluas pelaksanaan TVET Komuniti dan TVET Tahfiz supaya belia luar bandar tidak tercicir daripada latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata kadar kebolehpasaran graduan setakat ini merekodkan sebanyak 99.2 peratus, hasil kerjasama strategik bersama industri serta penawaran latihan yang memenuhi keperluan pasaran kerja.
Jelas beliau, program TVET yang ditawarkan dirangka berdasarkan tiga faktor utama iaitu keperluan komuniti setempat, industri yang beroperasi di kawasan berkenaan serta potensi bidang keusahawanan yang mampu diwujudkan melalui latihan kemahiran.
“TVET GIATMARA Miri berkolaborasi dengan Berjaya Ship Yard di Kuala Barang yang menggunakan modul kursus selama 33 bulan di GIATMARA dan tiga bulan lagi di Ship Yard. Sebahagian daripada mereka mendapat pekerjaan terus menerusi Ship Yard berkenaan.
“Usaha ini turut dipergiat dalam pelbagai bidang lain yang turut menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat berkaitan,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh di Dewan Negara, hari ini.
Tambah beliau, MARA terus memperluaskan pelaksanaan TVET Komuniti dan TVET Tahfiz bagi memastikan belia khususnya di luar bandar, tidak tercicir daripada mendapat pendidikan dan latihan kemahiran yang memenuhi keperluan tenaga kerja semasa.