Arsenal, Mikel Arteta capai persetujuan kontrak baharu

Mikel Arteta/ REUTERS

LONDON, 22 September – Juara Liga Perdana Inggeris, Arsenal, mencapai persetujuan mengenai kontrak baharu yang dipertingkatkan bersama pengurusnya, Mikel Arteta, lapor BBC pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kontrak Arteta sebelum ini dijadualkan tamat hujung musim, rundingan lanjutan berlangsung beberapa bulan.
  • Pengerusi bersama Josh Kroenke berjanji utamakan masa depan Arteta selepas beliau bimbing Arsenal raih kejuaraan liga pertama dalam 22 tahun.
  • Arteta menegaskan komitmennya bersama Arsenal susulan spekulasi mengenai masa depannya.
  • Arsenal mulakan kempen mempertahankan gelaran dengan empat kemenangan liga pertama, kemudian tewas 0-3 kepada Brighton.

Kontrak Arteta sebelum ini dijadualkan tamat pada penghujung musim ini, manakala rundingan mengenai lanjutan kontrak telah berlangsung sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusi bersama Arsenal, Josh Kroenke, pada Mei lalu berkata, beliau akan memastikan masa depan Arteta bersama kelab itu menjadi keutamaan selepas pengendali kelahiran Sepanyol berkenaan membimbing pasukan utara London itu meraih kejuaraan liga pertama dalam tempoh 22 tahun musim lalu.

Arteta turut menegaskan komitmennya bersama pasukan Arsenal susulan spekulasi mengenai masa depannya di kelab berkenaan.

Pengendali berusia 44 tahun itu membawa perubahan ketara kepada Arsenal sejak mengambil alih pasukan itu pada 2019, sekali gus menamatkan penantian panjang kelab untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim lalu selepas tiga kali berturut-turut muncul naib juara.

Arsenal memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan cemerlang apabila memenangi empat perlawanan liga pertama, sebelum tewas 0-3 kepada Brighton & Hove Albion pada Sabtu lalu.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.